‘Kangar Fast Track’ percepat kelulusan projek

Mohd Shukri Ramli (dua dari kiri) menyaksikan perjanjian antara MPK dan NCIA di Kompleks DUN Perlis, hari ini.
- Advertisement -

KANGAR: ‘Kangar Fast Track’ berupaya mempercepatkan kelulusan projek berkaitan pembangunan di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA).

- Advertisement -

Justeru, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, kerajaan negeri menjalin kerjasama strategik bersama Majlis Perbandaran Kangar (MPK) bagi mempermudah proses sedia ada dan mengurangkan tempoh masa kelulusan.

“Kangar Fast Track akan menggabungkan proses bermula dari peringkat cadangan permulaan projek, kelulusan pelan pembangunan, perakuan siap dan pematuhan, pengeluaran lesen pengoperasian sehinggalah permit untuk menjalankan perniagaan.

“Pelaksanaan inisiatif ini menunjukkan komitmen tinggi kerajaan negeri sebagai memudah cara dan meningkatkan kecekapan proses kelulusan serta pentadbiran di peringkat pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Pertukaran Memorandum Kerjasama antara Pihak Berkuasa Koridor Utara (NCIA) dan MPK di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Eksekutif NCIA, Mohamad Haris Kader Sultan berkata, pembangunan projek strategik CVIA berpotensi menarik pelaburan bernilai sehingga RM4.5 bilion dengan bakal menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan.

Katanya, tahun lalu, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) telah melabur sebanyak RM100 juta bagi membina kilang elektronik di CVIA.

“Selain menawarkan insentif pelaburan kepada para pelabur, CVIA juga perlu menyediakan proses berkaitan kelulusan yang lebih pantas dan berkesan.

“Pelabur berpontensi amat mengambil kira tempoh masa yang diambil kerana ia akan memberi kesan kepada kos mereka.

“Kerjasama dengan MPK pada hari ini membuktikan komitmen berterusan NCIA dalam memudah cara pelaburan ke Perlis dan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) amnya,” katanya.

Ujar Haris lagi, NCIA membuka pintu seluas-luasnya untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi kerajaan negeri, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan pihak swasta dalam usaha memudahkan kemasukan pelabur ke NCER.

Sebelum ini, semasa Majlis Jawatankuasa Pemandu Negeri Perlis, NCIA telah memudah cara pelaburan berjumlah RM1.5 bilion dan lebih 800 peluang pekerjaan di Perlis pada tahun lepas.

Program pembangunan bakat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berteraskan rakyat NCIA di Perlis juga telah memberi manfaat kepada lebih 5,295 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sejak dilaksanakan pada 2019.

Jumlah keseluruhan pelaburan itu bernilai RM135.7 juta serta mewujudkan lebih 975 peluang pekerjaan. – HARAKAHDAILY 12/3/2024

- Advertisement -