
ISTIQAMAH dalam mengerjakan amal soleh merupakan satu sikap yang penting dalam kehidupan seorang muslim. Istiqamah ialah melakukan sesuatu amalan secara berterusan atau konsisten dalam ketaatan kepada Allah SWT.
Seorang muslim hendaklah sentiasa beristiqamah dalam beramal soleh, seperti yang diperintahkan oleh Allah SWT dalam al-Quran,
… فَاسْتَقِمْ كَمَآ اُمِرْتَ وَمَنْ تَابَ مَعَكَ
“Maka istiqamahlah (tetaplah) engkau (Muhammad pada jalan yang benar) sebagaimana telah diperintahkan kepadamu dan juga orang yang bertaubat bersamamu…” (Surah Hud: 112)
Seseorang hendaklah melakukan amal soleh secara istiqamah dan bukan mengerjakan secara bermusim.
Sebagai contoh, setiap muslim yang beriman wajib melakukan amalan soleh yang difardukan ke atasnya, iaitu mendirikan solat lima waktu sehari semalam, berpuasa pada bulan Ramadan, mengeluarkan zakat dan menunaikan haji jika diberi kemampuan. Ditambah juga amalan sunat yang lain berdasarkan petunjuk Rasulullah SAW. Ini semua hendaklah dilakukan secara konsisten atau istiqamah.
Apabila suatu amalan soleh yang sudah menjadi kebiasaan dilakukan oleh seseorang secara istiqamah, maka akan tetap berpahala jika dia terhalang daripada mengerjakan amalan soleh tersebut, disebabkan sakit, musafir atau sebab-sebab syarak yang lain.
Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ، كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
“Jika seorang hamba sakit atau bermusafir, maka dicatat baginya pahala sebagaimana kebiasaan dia (lakukan) ketika bermukim dan ketika sihat.” (HR. Al-Bukhari no.2996).
Sabda Rasulullah SAW lagi:
الْعَبْدَ إِذَا كَانَ عَلَى طَرِيقَةٍ حَسَنَةٍ مِنَ الْعِبَادَةِ ثُمَّ مَرِضَ قِيلَ لِلْمَلَكِ الْمُوَكَّلِ بِهِ اكْتُبْ لَهُ مِثْلَ عَمَلِهِ إِذَا كَانَ طَلِيقاً حَتَّى أُطْلِقَهُ أَوْ أَكْفِتَهُ إِلَىَّ
“Seorang hamba jika dia berada pada jalan yang baik dalam ibadah, kemudian dia sakit, maka dikatakan kepada malaikat yang bertugas mencatat amalannya, “Tulislah padanya semisal yang dia amalkan secara istiqamah jika dia tidak terikat sampai Aku melepasnya atau sampai Aku mencabut nyawanya.” (HR Ahmad)
Daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
وَأَنَّ أَحَبَّ الأَعْمَالِ أَدْوَمُهَا إِلَى اللَّهِ، وَإِنْ قَلَّ
“Amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT adalah yang berterusan (istiqamah) walaupun ia sedikit.” (HR Al-Bukhari No 6464 dan Muslim di bawah No 783)
Hadis ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya istiqamah, yakni mengerjakan amalan soleh dengan berterusan walaupun sedikit.
Apabila seseorang terhalang daripada mengerjakannya disebabkan sakit atau sedang bermusafir, namun dia tetap akan memperoleh pahala daripada amalan rutin yang dikerjakannya secara istiqamah.
Sesungguhnya, ganjaran pahala yang besar telah disediakan oleh Allah SWT kepada orang mukmin yang istiqamah dalam beramal soleh, seperti firman Allah SWT:
إِنَّ ٱلَّذِينَ قَالُوا۟ رَبُّنَا ٱللَّهُ ثُمَّ ٱسْتَقَـٰمُوا۟ تَتَنَزَّلُ عَلَيْهِمُ ٱلْمَلَـٰٓئِكَةُ أَلَّا تَخَافُوا۟ وَلَا تَحْزَنُوا۟ وَأَبْشِرُوا۟ بِٱلْجَنَّةِ ٱلَّتِى كُنتُمْ تُوعَدُونَ ٣٠
“Sesungguhnya orang-orang yang berkata, “Rabb kami adalah Allah,” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka (beristiqamah dalam mengerjakan ketaatan), maka malaikat-malaikat akan turun kepada mereka (dengan berkata), “Janganlah kamu merasa takut dan janganlah kamu bersedih hati, dan bergembiralah kamu dengan (memperolehi) syurga yang telah dijanjikan kepadamu” (30).
نَحْنُ أَوْلِيَآؤُكُمْ فِى ٱلْحَيَوٰةِ ٱلدُّنْيَا وَفِى ٱلْـَٔاخِرَةِ ۖ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَشْتَهِىٓ أَنفُسُكُمْ وَلَكُمْ فِيهَا مَا تَدَّعُونَ ٣١
“Kamilah pelindung-pelindungmu dalam kehidupan dunia dan akhirat; di dalamnya (syurga) kamu memperoleh apa yang kamu inginkan dan memperoleh apa yang kamu minta. Sebagai penghormatan (bagimu) dari (Allah) Yang Maha Pengampun, lagi Maha Penyayang.” (Surah Fussilat ayat 30-31).
Ayat ini menunjukkan bahawa malaikat akan turun menuju kepada orang-orang yang istiqamah ketika kematian menjemputnya, dalam kubur dan ketika dibangkitkan.
Malaikat akan memberikan rasa aman dari ketakutan ketika kematian menjemputnya, menghilangkan kesedihannya dengan sebab berpisah dari keluarganya kerana Allah dengan pengganti yang lebih baik, memberikan khabar gembira berupa pengampunan dari dosa dan kesalahan, diterimanya amal dan khabar gembira kepadanya dengan syurga yang belum pernah dilihat dengan mata, belum pernah didengar dengan telinga, dan belum pernah terlintas dalam hati manusia.
Semoga kita semua tergolong dalam golongan hamba-hambaNya yang sentiasa istiqamah dalam beramal soleh kepadaNya setiap masa sehingga waktu ajal menjemput. – HARAKAHDAILY 12/3/2024




















