
KUALA LUMPUR: Walaupun pembangkang tidak diberikan sebarang peruntukan tetap tidak menjadi halangan untuk wakil rakyat membantu rakyat, kata Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, apa yang penting wakil rakyat PN turun ke lapangan berjumpa dengan pengundi dan menjelaskan dasar dan perjuangan parti.
“Kita tahu rakyat sedang menderita dalam situasi kerajaan yang ada hari ini tidak memberikan bantuan dan pertolongan.
“Isu yang paling besar yang kita bincangkan tadi ialah soal kos sara hidup, kenaikan harga barang, cukai yang melambung dan juga isu yang mungkin akan berbangkit nanti soal resolusi subsidi minyak.
“Jadi kesemuanya ini menambah beban, jadi kalau tidak ada usaha dibuat, maka rakyat akan terus menderita,” katanya dalam sidang media sempena Konvensyen Wakil Rakyat PN di Hotel Sunway Putra, di sini, semalam.
Bekas Perdana Menteri itu yakin PN berada di landasan yang betul kerana memperjuangkan nasib rakyat tanpa mengira kaum dan keturunan.
“Tadi pun kami dah bincang tentang soal bagaimana nak melengkapkan sokongan masyarakat bukan Melayu kepada PN untuk menjelaskan apa yang menjadi asas perjuangan kita dan sebagainya.
“Jadi inilah yang telah kita bincang sehari suntuk termasuk apa yang kita dengar oleh Menteri-Menteri Besar di kerajaan negeri 4 (SG4) di utara tentang rencana mereka, permasalahan mereka dan perancang masa depan.
“Hal demikian supaya kawasan empat buah negeri PN utara ini akan menjadi satu kawasan pertumbuhan ekonomi yang pesat,” ujarnya.
Justeru, katanya, wakil rakyat PN akan terlibat membantu mempromosikannya supaya limpahan daripada pembangunan SG4 akan dirasai oleh rakyat di luar sana. – HARAKAHDAILY 10/3/2024











