Siapakah kerajaan nak jadi penimbang tara ‘kebenaran’?

Ahmad Fadhli Shaari
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Setiap bulan, Malaysia tidak sepi dengan peluncuran dan pelancaran inisiatif baru Madani yang sering menggugat emosi rakyat, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari.

- Advertisement -

Bulan lalu, katanya Menteri Komunikasi telah melancarkan kod etika media yang dirangka untuk melawan ‘berita palsu dan fitnah’ yang didakwanya terlalu banyak tohmahan dan kandungan provokatif berlegar kebelakangan ini.

“Persoalannya, siapa yang bertindak sebagai penimbang tara ‘kebenaran’?” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, tindakan Menteri Komunikasi dan Digital itu turut diselar oleh kumpulan hak asasi manusia Lawyers for Liberty (LFL) kerana kerajaan dilihat menyekat kebebasan bersuara atas alasan fitnah atau kenyataan yang tidak tepat.

Katanya, konotasi ‘kenyataan yang tidak benar’ bagi Madani adalah begitu sempit dan dangkal.

Buktinya, ujar beliau 3R (institusi diraja, agama, bangsa) yang termaktub dalam Perlembagaan juga gagal difahami dan ditafsirkan dengan baik oleh mereka.

Tambahnya lagi, akibatnya demi memenangkan agenda ‘kebenaran’ pada hemat Madani, 3R diklasifikasikan sebagai satu jenayah kebebasan bersuara.

“Sudah hilang barangkali slogan reformasi yang dahulu bersungguh-sungguh diperjuangkan demi kebebasan media dengan slogan ‘Media yang bebas adalah tiang seri demokrasi. Bila media dikongkong, minda rakyat bakal terkurung’,” ujarnya.

Menurutnya lagi, mandat semasa seharusnya membolehkan peranan semak dan imbang yang diperjuangkan oleh PKR selaku tulang belakang kerajaan hari ini dua tahun lalu diperkasa.

“Sayangnya, nadanya sekarang sudah berbeza,” tambahnya yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas.

Beliau berkata, keadaan semasa juga jelas memperlihat kompetensi sebenar kerajaan melalui Menteri Komunikasi yang gagal untuk menyelesaikan permasalahan-permasalahan dengan adil dan lemah untuk melaksanakan tanggungjawab hakiki sebagai kerajaan dengan baik.

Buktinya, ujar beliau penerangan tentang usaha-usaha kerajaan Madani tidak dapat disampaikan dengan baik kepada rakyat.

“Tidak hairanlah ia berlaku kerana memang realitinya kerajaan hanya sibuk menjaga kepentingan politik parti daripada rakyat dan negara,” katanya.

Kesimpulannya, tegas beliau PAS sama sekali tidak akan berkompromi dengan sebarang fitnah dan tohmahan kerana perkara tersebut bertentangan dengan ajaran Islam.

Namun, jelasnya PAS juga tidak akan berkompromi dengan pihak yang acah memperjuangkan, hakikatnya ‘hanya menunggang’ demi memenangkan perbuatan kelompok sendiri sehinggakan yang benar dikatakan salah, dan salah dikatakan benar. – HARAKAHDAILY 8/3/2024

- Advertisement -