
KUALA LUMPUR: Kerajaan didesak menyatakan alasan di sebalik langkah Lembaga Pelesenan Eksais Wilayah Persekutuan menarik balik larangan penjualan minuman keras di kedai runcit, serbaneka dan ubat Cina di Ibu Negara.
Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) juga menggesa pihak kerajaan menyatakan status kuatkuasa garis panduan penjualan arak di Wilayah Persekutuan, semasa mengemukakan soalan semasa sesi pertanyaan-pertanyaan di Dewan Rakyat, semalam.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa dalam jawapan bertulisnya katanya, sebenarnya larangan penjualan minuman keras di kedai runcit tidak dimansuhkan.
Namun jelas beliau, pada masa itu Lembaga Pelesenan berpandangan bahawa kerajaan perlu membekukan pengeluaran lesen baharu penjualan arak sehingga satu garis panduan dan semakan perundangan dapat dilakukan pada tahun 2020.
“Tindakan yang diambil adalah susulan berlakunya kes-kes kemalangan jalan raya yang dikaitkan dengan pemandu mabuk,” ujarnya beliau.
Datuk Ahmad Amzad Mohamed Hashim (PN- Kuala Terengganu) turut mendesak kerajaan menyatakan penjelasan berkaitan pemansuhan skim pencen penjawat awam yang diumumkan dan perancangan baharu untuk menggantikan sistem sedia ada.
Dr Zaliha dalam jawapan bertulis menyatakan, kerajaan sedang mengkaji sistem saraan baharu bagi mengoptimumkan pengambilan dan pengisian jawatan dalam perkhidmatan awam memandangkan bebanan tanggungan pencen semakin meningkat setiap tahun.
“Ini adalah bagi memastikan Kerajaan dapat menguruskan perbelanjaan kewangan negara dengan lebih mampan,” ujarnya.
Menjawab kemungkinan berlaku kenaikan gaji susulan perubahan itu, Zaliha berkata, secara umum walau apapun cadangan kaedah baharu pelantikan secara tetap kelak, ia tidak akan mengubah struktur saraan dinikmati pegawai lantikan tetap dan berpencen sedia ada. – HARAKAHDAILY 8/3/2024











