Mengapa jual beras tempatan di JAPERUN?

Dr Mohd Yadzil Yaakub
- Advertisement -

MELAKA: Ketua Pembangkang, Dr Mohd Yadzil Yaakub mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Melaka yang menjual beras putih tempatan di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN).

- Advertisement -

Menurut beliau, tindakan itu tidak wajar kerana menyukarkan rakyat untuk datang bagi membeli beras tersebut.

“Kenapa perlu dijual di JAPERUN? Sudahlah muncul bermusim, rakyat terpaksa pula beratur panjang seperti mengemis untuk membeli beras tempatan. Beras tempatan tu dijual, bukan dapat percuma di JAPERUN pun.

“Bukan semua rakyat yang mampu bergerak ke JAPERUN hanya untuk membeli beras. Yang mencari beras tempatan ni banyak dari keluarga yang susah. Terpaksa menyewa teksi atau Grab untuk ke JAPERUN membeli beras tempatan,” ujarnya.

Tegas beliau, sewajarnya beras tersebut dijual di pasar-pasar raya atau di kedai-kedai yang berhampiran dengan orang ramai dengan pemantauan dan kawalan daripada agensi-agensi kerajaan.

“Saya memohon kepada kerajaan untuk meneliti hal ini untuk mempermudahkan urusan rakyat yang susah ini,” ujarnya yang juga ADUN Bemban sewaktu menyampaikan ucapan penangguhan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka hari ini.

Selain itu, beliau turut melahirkan rasa pelik dengan kekurangan beras tempatan yang berlaku di negeri itu walaupun pelbagai tindakan telah dilakukan kerajaan.

“Exco dah rush kilang, dah rush pasar raya, dah semak invois dan segala dokumen walau melanggar akta. Pengilang, pekedai dah digertak. Tapi sampai ke hari ini, beras tempatan masih hilang di pasaran.

“Kartel disebut-sebut sebagai punca tapi sehingga ke hari ini tidak ada berita berkaitan tindakan terhadap kartel yang bersalah diambil tindakan. Buktinya beras tempatan kekal masih hilang di pasaran,” katanya.

Perkara itu, menurut beliau tidak wajar berlaku kerana sejak dahulu lagi kerajaan mengamalkan dasar pengeluaran beras tempatan 70 peratus dan import 30 peratus,

“Anehnya lambakan beras import lebih banyak di pasaran,” ujar beliau.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka atas tindakan proaktif mereka mendidik pengguna secara dalam talian. – HARAKAHDAILY 7/3/2024

- Advertisement -