Tingkat inisiatif pendapatan kurang penduduk miskin tegar

Dato’ Dr Izani Husin
- Advertisement -

KOTA BHARU: Beberapa langkah dibuat kerajaan negeri untuk mengurangkan bilangan penduduk miskin tegar, antaranya meningkatkan inisiatif pendapatan, mengoptimumkan bantuan kewangan dan pendidikan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Air dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dato’ Dr Izani Husin berkata, selain itu meningkatkan kualiti hidup melalui pemberian bantuan rumah dan bekalan asas.

Katanya, langkah-langkah alternatif lain termasuk mengaktifkan Mesyuarat ‘Focus Group’ Kesejahteraan Rakyat (FGN) di peringkat negeri dan ‘Focus Group’ Kesejahteraan Rakyat (FGD) di peringkat jajahan.

“Antaranya memantapkan data miskin tegar tahun 2024 dengan mempergiatkan proses pemutihan data miskin tegar oleh Pejabat Pembangunan Negeri Kelantan,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, hari ini.

Menurutnya juga usaha pemutihan data melibatkan semua agensi pemberi bantuan dan menyelaraskan kumpulan sasar di peringkat jajahan turut dilakukan.

Tambahnya lagi merancang strategi quick win jangka masa pendek dengan mengenal pasti ketua isi rumah (KIR) yang tidak produktif untuk diberi bantuan kewangan.

“Setakat ini jumlah KIR miskin dan miskin tegar di negeri ini direkodkan 14,092 orang bagi kategori miskin tegar dan 63,030 penduduk miskin,” ujarnya.

Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) tahun 2022 yang dikeluarkan Kementerian Ekonomi meningkat daripada RM1,177 kepada RM1,199 bagi miskin tegar dan RM2,119 kepada RM2,199 bagi golongan miskin. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -