Pemilihan Oday tanda solidariti bersama Palestin – KUFC

- Advertisement -

KOTA BHARU: Teka-teki pemain luar yang bakal beraksi bersama Kelantan United Football Club (KUFC) musim ini terjawab apabila pemain kelahiran Palestin, Oday Kharoub diumumkan hari ini.

- Advertisement -

Pemain berusia 31 tahun itu diumumkan dalam satu sidang media selepas majlis tandatangan tiga pemain diumumkan KUFC, petang semalam.

Selain Oday, KUFC turut mengumumkan bekas pemain The Red Warriors (TRW), Mohammad Fazrul Amir Md Zaman dan pemain Terengganu FC, Wan Mohamad Fazli Wan Ghazali yang juga anak jati Kuala Krai sebagai muka baru pasukan. (Foto atas)  

Pengumuman pemain baru itu dibuat Presiden KUFC, Rozi Muhamad di Stadium Sultan Muhammad IV, petang tadi.

Beliau berkata, pemilihan Oday turut menjadi tanda solidariti Malaysia khususnya Kelantan bersama Palestin.  

Menurutnya, Kelantan begitu erat hubungannya dengan Palestin hingga membabitkan ke peringkat ‘perasaan’, bukan hanya setakat hubungan negara semata-mata.

Tambahnya, dengan kehadiran Oday itu juga membawa maksud Kelantan sentiasa bersama Palestin yang turut diterjemahkan di peringkat sukan bola sepak.

Rozi berkata, ketika penilaian pemain dibuat, pihaknya mengambil keputusan untuk mengambil pemain berkenaan atas sifat sebagai pemain utama pasukan negaranya sebelum ini.

“Kita juga melihat dalam perlawanan Piala Asia di Qatar baru-baru ini, kita lihat kesebelasan utama dan kita juga melihat rekod-rekod kecemerlangannya sebelum ini.

“Akhirnya kita membuat keputusan, bersetuju untuk mengambil pemain Palestin ini,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menyeru penyokong KUFC hadir memberi sokongan beramai-ramai memandangkan sebahagian kutipan tiket musim ini akan disumbangkan kepada Palestin.

Tambahnya, ia bukan sekadar memberi sokongan untuk KUFC sebaliknya kepada negara dan rakyat Palestin. – HARAKAHDAILY 6/3/2024

- Advertisement -