
SHAH ALAM: Isu perobohan rumah panjang Kampung Bunga Raya Subang adalah jelas melibatkan penipuan dan bukannya berasaskan sentimen perkauman.
Sekretariat Pembela Tanah Air (PETA), Badrul Hisham Shaharin berkata terdapat dakwaan yang cuba menjadikan isu kampung itu sebagai perkauman kerana kononnya hanya melibatkan kaum India semata-mata.
Kata beliau, dakwaan tersebut adalah benar-benar tidak tepat kerana melibatkan penipuan terhadap penduduk yang bukan sahaja kaum India tetapi juga Melayu yang juga menetap di kawasan tersebut.
Beliau tidak menafikan bahawa PETA dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) banyak menguruskan hal-hal yang berkaitan dengan agama Islam dan bangsa Melayu.
Namun begitu, beliau berkata kedua-dua NGO itu juga akan membela mana-mana bangsa pun yang menghadapi sebarang bentuk kezaliman.
“Kita sebagai orang Islam wajib turun untuk bantu apa pun bangsa bila mereka menghadapi kezaliman termasuklah berkaitan dengan isu sebegini,
“Selama ini perjuangan kami lebih kepada membela golongan yang ditindas dan bukannya mengambil hak orang lain,” ujarnya pada sidang media susulan bantahan penduduk terhadap perobohan rumah panjang kampung itu, hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Penerangan Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN), Nadzir Helmi dan aktivis PPIM, Gulab Jan Fazal Elad.
Beliau berkata semua penduduk Kampung Bunga Raya akan terpaksa menghadapi proses yang panjang dalam membela hak mereka.
Namun begitu, beliau menasihatkan penduduk supaya terus berjuang memandangkan mereka merupakan warganegara Malaysia yang mempunyai hak untuk dipertahankan.
“Apapun semua penduduk kampung mesti lawan untuk mempertahankan hak-hak yang sewajarnya dan kami akan cuba bantu sebanyak mana yang mungkin termasuklah mengenai proses mahkamah terhadap pemaju dan kerajaan negeri,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/3/2024
.











