500 sertai Pesta Bendang Siswa 2024

Para peserta mengambil kesempatan bergambar dengan Dr Haim dan Baddrol.
- Advertisement -

KUBANG PASU: Pesta Bendang Siswa 2024 berjaya menarik penyertaan lebih daripada 500 mahasiswa Kedah dari pelbagai institusi pengajian tinggi (IPT) seluruh negara.

- Advertisement -

Menurut Pengerusi Jawatankuasa, Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi dan Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr Haim Hilman Abdullah, penyertaan turut melibatkan 40 pelajar Universiti Antarabangsa Al-Bukhary.

“Ini merupakan program julung kali anjuran kerajaan negeri untuk menghimpun mahasiswa Kedah dari seluruh IPT dalam negara melalui acara sukaneka begini.

“Ia sejajar dengan hasrat Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, untuk mewujudkan gabung jalin anak-anak muda ini khususnya untuk membantu membangunkan negeri,” jelasnya ketika ditemui Harakahdaily, di tapak program, Kampung Telok Malek, semalam.

Katanya lagi, mahasiswa merupakan pemangkin untuk merealisasikan masa depan negeri tanpa mengira di mana sahaja mereka berada.

“Mereka jugalah yang akan meneruskan agenda perjuangan membela bangsa dan agama,” tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra itu lagi.

Dalam pada itu kata Haim, tanggungjawab anak-anak muda sebagai tulang belakang terhadap pembangunan negeri turut melibatkan mahasiwa bukan Melayu seperti Cina, India dan Siam.

Justeru, tegasnya, program seumpama itu akan dilaksanakan setiap tahun dan dalam masa yang sana kesatuan mahasiswa Kedah akan dibentuk.

Sementara kehadiran, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gurun, yang juga bintang bola sepak tanah air, Baddrol Bakhtiar, sebagai tetamu khas menarik perhatian pengunjung.

Ikon anak muda bukan sahaja menarik perhatian anak-anak muda malah termasuk penduduk kampung yang hadir pada program berkenaan.

Pelbagai acara disediakan seperti tarik tali, belon beracun, bola baling, tangkap ayam dan lain-lain.

Lebih menarik, Haim dan Baddrol turut menyertai acara-acara yang disediakan, bermain bersama mahasiswa dan penduduk kampung.

Dalam perkembangan yang sama, bekas Naib Cancelor Universiti Utara Malaysia (UUM) itu mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat khususnya Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Telok Malek dan penduduk.

Sementara itu, Pengerusi MKK Kampung Telok Malek, Zulkifli Shamsudin, sangat berbesar hati apabila kampungnya menjadi tuan rumah kepada program berkenaan.

“Lima hari sebelum tarikh program semua kerja telah dilakukan dengan kerjasama anak-anak muda dan penduduk kampung.

“Semuanya dilakukan secara gotong-royong termasuk penyediaan makan dan minum,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 2/3/2024

- Advertisement -