Terengganu tidak berhasrat tukar nama Pasar Kedai Payang

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Kedai Payang.

- Advertisement -

Beliau menyatakan demikian susulan ramai yang mengajukan pertanyaan berkaitan cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan membabitkan penukaran nama Pasar Kedai Payang kepada Central Market @ Pasar Payang.

“Kerajaan Negeri Terengganu tidak berhasrat untuk menukar nama Pasar Kedai Payang kepada suatu nama yang lain,” ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, hal itu kerana nama Pasar Kedai Payang itu sendiri mempunyai susur galur sejarah, budaya dan resam yang unik serta dekat di hati rakyat Terengganu.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming mencadangkan supaya nama Pasar Payang ditukarkan kepada Central Market Pasar Payang.

Katanya, cadangan itu sudah dikemukakan kepada kerajaan negeri.

Beliau hadir pada Majlis Penyerahan Projek Pembangunan Semula Pasar Payang yang diadakan di Pasar Kedai Payang Satu di sini, semalam.

Dr Samsuri menjelaskan, apa yang mahu dicapai oleh pihak kerajaan negeri ialah menjadikan Pasar Kedai Payang sebagai ‘pasar utama’ bagi negeri ini yang menjadi tumpuan, pusat aktiviti pelancongan dan sebagainya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kemaman menambah, ia sesuai dengan sifat serta sejarah pasar itu di kedudukan tengah negeri Terengganu dan pesisir Pantai Timur. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -