Pengorbanan Assabiqun pertahan PAS di Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Timbalan Exco kerajaan negeri mengakui pengalaman hebat Assabiqun dan Assabiqat Kelantan membolehkan negeri ini dipertahan PAS sehingga sekarang.

- Advertisement -

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Nor Asilah Mohamed Zain berkata, Assabiqat bekerja kuat untuk mempertahankan Kerajaan Kelantan.

“Pengalaman berharga golongan Assabiqun amat mahal. Jadi anak-anak muda amat wajar menimba ilmu daripada mereka,” katanya ketika meraikan Kelab Kebajikan Masyarakat Sinar (Kesinar) Marang di JKR 10, di sini hari ini. (Foto atas)

Seramai 46 ahli Kesinar yang diketuai Noraini Mamat melawat negeri Serambi Mekah sempena Tahun Melawat Kelantan 2024.

Turut hadir Pengerusi Assabiqat Kelantan, Rahimah Husin dan Timbalan Ketua Muslimat Marang, Saripah Seman.

Nor Asilah yang juga ADUN Limbongan berkata, kekuatan parti yang didukungi Assabiqat nikmati rakyat Kelantan yang menjuarai pentadbiran berasaskan Islam di negara ini.

Beliau turut mengimbau pengalaman ketika mengikuti arwah ibunya, bekas Ketua Dewan Muslimat PAS Kelantan, Allahyarham Kalthom Othman menaiki motosikal ketika menyertai program parti.

“Arwah ibu terpaksa mengikat saya dengan kain bagi mengelak terjatuh kerana setiap kali menaiki saya mudah ‘terlena’.

“Ini antara pengalaman yang sempat saya kongsikan. Tidak mudah untuk menyampaikan maklumat melalui program ceramah berkaitan perjuangan PAS ketika itu, namun berbeza jauh sekarang,” kata beliau. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -