
PASIR PUTEH: Pasar Borong Awam Pasir Puteh yang dinaik taraf melibatkan kos RM1 juta diserah kepada Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komiditi negeri, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail berkata, pasar borong tersebut menjadi pelengkap rantaian pemasaran dan bekalan Agromakanan RTC FAMA Kelantan.
Katanya, projek berkenaan hasil kerjasama strategik Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), FAMA, MDPP dan Kerajaan Kelantan.
“Pasar Borong di Pasir Puteh menjadi hub pengumpulan hasil tani kedua terbesar di Kelantan,” katanya pada program tersebut.
Turut hadir ADUN Limbongan Nor Asilah Mohamed Zin, Pengarah FAMA Kelantan, Wan Faizatul Aniza Ismayatim dan wakil MDPP.
Tuan Mohd Saripudin juga berkata, usaha menaik taraf pasar borong tersebut melibatkan kawasan pasar, kemudahan tandas dan dua unit bilik sejuk untuk penyimpanan bahan mentah.
“Sebelum ini MDPP menyediakan tapak sementara untuk menjalankan aktiviti jual beli sepanjang projek ini dijalankan.
“Insya-Allah menjelang Ramadan, MDPP dalam proses memindahkan kembali operasi pasar sementara ke tapak yang dinaik taraf tersebut,” ujarnya.
Sehubungan itu beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada FAMA dan kementerian dalam usaha memperjuangkan sekuriti makanan negara. – HARAKAHDAILY 29/2/2024











