
KUALA LUMPUR: Keputusan Mahkamah Persekutuan semalam mengekalkan kedudukan Datuk Mas Ermieyati Samsudin sebagai Ahli Parlimen (MP) Masjid Tanah menjadi pencetus semangat untuk PERIKATAN NASIONAL (PN) menawan Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16 nanti.
Pesuruhjaya PAS Melaka, Tuan Guru Zulkifli Ismail berkata, keputusan tersebut sangat bermakna kepada seluruh jentera parti gabungan itu setelah melalui proses perundangan yang panjang.
“Alhamdulillah saya sangat-sangat bersyukur ke hadrat Allah SWT apabila mendapat berita tentang keputusan tersebut.
“Keputusan ini sudah tentulah akan meningkatkan lagi semangat keseluruhan ahli PERIKATAN NASIONAL dan pendukung-pendukung PERIKATAN NASIONAL di Masjid Tanah dan Negeri Melaka,” ujarnya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.
Tuan Guru Zulkifli yang juga Ahli Parlimen Jasin turut mengucapkan tahniah dan syabas kepada Ahli Parlimen Masjid Tanah itu atas kemenangan tersebut.
“Saya menyeru kepada seluruh ahli dan pendukung-pendukung PERIKATAN NASIONAL untuk terus bekerja.
“Ini bagi meningkatkan keyakinan rakyat kepada PERIKATAN NASIONAL sebagai kerajaan menanti selepas daripada Pilihan Raya Umum yang ke-16, insya-Allah,” ujarnya.
Beliau menambah, keputusan mahkamah itu juga dapat meningkatkan keyakinan rakyat bahawa Datuk Mas Ermieyati Samsudin tidak melakukan sebarang sogokan dalam pilihan raya seperti yang dituduh sebelum ini.
“Kita memang sangat yakin bahawa beliau yang telah diberikan kepercayaan oleh kepimpinan PERIKATAN NASIONAL yang sudah tentu melalui penapisan terhadap latar belakang integriti yang telah ditunjukkan oleh setiap calon PERIKATAN NASIONAL itu.
“Jelas tuduhan yang ditujukan kepada beliau itu dan kepada mana-mana kepimpinan PERIKATAN NASIONAL adalah merupakan suatu serangan politik yang kita yakin melalui perundangan yang bebas dalam negara kita ini, keadilan akan tertegak sebagaimana yang telah kita saksikan, alhamdulillah,” ujarnya.
Justeru, beliau menzahirkan keyakinan bahawa dengan keputusan itu, rakyat semakin memandang dan percaya bahawa PN adalah satu-satunya alternatif yang terbaik bagi melakar masa depan negara.
Tambahnya, sekali gus membina suatu era yang baharu dalam negara ini dengan kepimpinan yang bersih, stabil dan jujur.
Mas Ermieyati mengekalkan kerusinya selepas Mahkamah Persekutuan, semalam menolak rayuan calon BN, Abdul Hakim Abdul Wahid untuk membatalkan kemenangan calon PN itu dalam PRU15 lalu.
Panel tiga hakim terdiri daripada Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Abu Bakar Jais memutuskan Hakim Pilihan Raya tidak terkhilaf dalam dapatannya ketika menolak petisyen pilihan raya Abdul Hakim.
Ketika membacakan keputusan tersebut, Hakim Nallini berkata, peguam perayu berhujah Hakim Pilihan Raya telah terkhilaf apabila gagal membuat kesimpulan daripada bukti yang ada atas kesalahan rasuah di bawah Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Pada PRU15 lalu, Mas Ermieyati yang memperoleh 25,604 undi memenangi kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan majoriti 4,411 undi dalam saingan empat penjuru. – HARAKAHDAILY 29/2/2024











