‘Bukan macam menteri propaganda Hitler’

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: “Masa jadi menteri jaga penerangan, saya bukan macam menteri propaganda Hitler, Joseph Goebbels. Kerjanya asyik memeriksa dan mengawal mereka yang bersuara,” kata Dato’ Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota).

- Advertisement -

Difahamkan kenyataan tersebut merujuk kepada tindakan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil yang menyekat dan membuang kandungan di platform media sosial kerana lantang mengkritik atau bertentangan dengan Kerajaan Perpaduan.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Pahang itu mengemukakan demikian semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini sebentar tadi.

Beliau berkata lagi, langkah tersebut dilihat bercanggah dengan agenda reformasi yang dilaung-laungkan oleh Pakatan Harapan (PH) sebelum membentuk kerajaan hari ini bagi memberi jaminan kebebasan bersuara dan kebebasan media.

Kerajaan katanya, tidak boleh menyekat kebebasan terbabit ketika perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan rakyat juga semakin terbuka pemikirannya, malah kerajaan perlu merangka pelan menghadapi ledakan tersebut.

Mantan Menteri Komunikasi dan Multimedia era pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin itu bahkan pernah menulis sebuah buku berjudul ‘Kehidupan Digital Teknologi Yang Manusiawi’ atas komitmennya untuk melahirkan generasi berteknologi tinggi.

Menurut beliau kerajaan seharusnya menyediakan kemudahan secara komprehensif dan holistik dalam ekosistem geopolitik, kebudayaan dan satu generasi yang menguasainya, jika ingin bersaingan dengan perkembangan teknologi dunia luar.

“Namun pada masa sama kita juga perlu mengatasi kesan negatif daripada kepesatan teknologi digital seperti keselamatan siber, manipulasi oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), privasi dan etika, kecurian data dan manipulasi data.

“Sebab itu kita kena lahirkan generasi berteknologi tinggi yang manusiawi sebab pada 2022 saya telah menulis buku berjudul ‘Kehidupan Digital Teknologi Manusiawi’, ini nukilan saya sebagai mantan menteri yang jaga penerangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/2/2024

- Advertisement -