
KUALA LUMPUR: Ringgit yang mengalami penurunan nilai pada ketika ini menjadi antara salah satu petanda aras kepada keadaan ekonomi negara, demikian kata Dato’ Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh (PN-Pasir Puteh).
Menurutnya, walaupun Ringgit mengalami penurunan dari tahun ke tahun, tetapi ia tidak menjunam secara berterusan semasa Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan, sebagaimana yang sedang berlaku di bawah kerajaan kini.
“Semakin menurun, tetapi sekarang ini adalah situasi yang paling parah di dalam negara kita, yang implikasinya terlalu teruk terutamanya untuk rakyat, miskin di dalam negara kita,” ujarnya dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini sebentar tadi.
Beliau berharap pihak kerajaan mesti lebih demokratik untuk membina semula ekonomi negara di mana mempunyai ahli-ahli yang latar belakangnya berbagai termasuk mempunyai hubungan istimewa dengan negara-negara tertentu.
Cadangnya, hubungan tersebut boleh digarap secara rasmi sebagai suara kerajaan itu sendiri untuk menarik pelabur-pelabur daripada negara berkenaan datang dan melabur di dalam negara ini secara bersungguh-sungguh.
“Saya kira negara kita ini sudah cukup kekuatan yang ada. Kita berhentilah berpolitik membabi buta sebagaimana pada hari ini. Kita mesti menghormati pandangan yang berbeza di antara pembangkang dan seumpamanya,” seru beliau.
Katanya, sikap yang ditunjukkan kerajaan kepada rakyat sendiri khususnya dari kawasan Parlimen pembangkang telah menyebabkan pelabur-pelabur asing seluruh dunia meletakkan tanda soal yang banyak kepada Malaysia.
Membangkitkan isu peruntukan yang disekat kepada pembangkang, beliau menegaskan betapa PAS khususnya tetap bangkit dalam perjuangannya sejak puluhan tahun biarpun tanpa kekuatan kewangan.
“Hari ini kita menjadi parti yang paling besar di dalam Parlimen ini. Kita ada 43 kerusi dan tidak ada dalam rakan-rakan PAS ini yang melompat ke sana ke sini. Tidak ada, ini kita kena ingat,” ujarnya.
Nik Zawawi menyeru kerajaan memberi fokus bersungguh-sungguh menarik pelaburan asing dan menegaskan bahawa pihak pembangkang berlapang dada menerima usaha itu dilaksanakan demi kepentingan negara.
Tambahnya, Malaysia perlu meningkatkan daya saing ekonomi di mana sebagai negara pertanian, sektor itu perlu difokuskan sebaiknya dan tidak patut terjadi penurunan keperluan sara diri (SSL).
Para Menteri katanya, tidak harus hanya membuka fail menyambung kerja lama tetapi mestilah mempunyai pemikiran dan berdaya saing yang lebih maju dengan mengemukakan agenda-agenda baru untuk melonjakkan ekonomi negara.
“Dengan maaf, saya bukan semata-mata nak mengkritik, tapi nak menyedarkan. Adakalanya kadang-kadang tindakan daripada menteri kita ini seolah-olah saya tengok tidak membangun. Pecat, ketua, pengarah yang berbeza pendirian.
“Kita kena terbuka perbezaan pandangan, sedikit sebanyak. Ini adalah amalan yang biasa. Allah tidak buat dua orang manusia ini tak sama semua. Walaupun kita dengan isteri, walaupun kita dengan anak kita (pun boleh berbeza).
“Maka sebab itu jangan ada tindakan-tindakan yang boleh merugikan negara,” ujarnya turut menyatakan pandangan bahawa sektor pelancongan yang sepatutnya menjadi daya saing, tetapi tidak terlihat agenda baharu.
Beliau turut menegaskan sudah tiba masanya negara ini menjadi sebuah negara industri dan tidak boleh berharap untuk membeli teknologi daripada pihak lain sahaja, tetapi perlu menghasilkan sendiri.
Nik Zawawi yakin rakyat negara ini juga memiliki kemampuan menghasilkan teknologi kerana mereka juga belajar daripada universiti sama dengan rakyat daripada negara penghasil teknologi-teknologi terkenal dunia.
“Tapi kerajaan seharusnya meletakkan rakyat ini di posisi yang sebenar. Barulah rakyat kita ni dia boleh berinteraksi dengan keintelektualan yang ada di dalam kepala dia. Itu harapan saya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 28/2/2024











