Mansuh pencen beri kesan masa depan ekonomi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pemansuhan skim pencen penjawat awam oleh kerajaan akan memberikan kesan sangat besar terutama kepada lebih 70 peratus generasi muda, demikian kata Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang).

- Advertisement -

Menurut beliau, dari sudut sosio ekonomi kesannya akan berlaku penurunan kuasa beli antara 15 hingga 20 peratus sepertimana situasi sama pernah dijangkakan selepas 10 tahun dasar penswastaan dilaksanakan dahulu.

“Kitaran ekonomi negara akan menyusut dan begitu juga tentang pertumbuhan ekonomi akan menurun. Dan kesan psikologi di mana ketidakpastian pekerjaan menyebabkan 50 peratus penjawat awam beralih ke sektor swasta dalam tempoh lima tahun,” ujarnya.

Bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berucap demikian ketika mengambil bahagian dalam Perbahasan Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Menurutnya, pemansuhan pencen tersebut akan memberi kesan kesihatan mental hingga menjejaskan lebih daripada 60 peratus penjawat awam yang juga menyebabkan penurunan motivasi dan jati diri mereka. 

“Dan kesannya ialah begitu juga terhadap komuniti dan ekosistem kehilangan pekerja mahir dalam sektor awam sebanyak 40 peratus penjawat awam mahir dalam bidang kesihatan pendidikan, keselamatan mungkin berpindah ke sektor swasta.

“Dan kestabilan operasi dalam sektor kritikal terjejas penurunan sebanyak 25 peratus dalam kecekapan operasi sektor kesihatan pendidikan dalam tempoh tiga tahun selepas pemansuhan pencen,” tambah beliau.

Beliau yang juga Ketua Muslimat PAS Negeri Kelantan berharap supaya kerajaan menilai kembali dasar-dasar akan dilaksanakan dan menggesa kepimpinan kerajaan agar turun padang melihat rakyat di bawah. 

“Jangan berteori di bilik aircond, ada yang menangis bahkan ada yang bunuh diri. Ada yang merintih kerana mereka sangat terbeban dengan kos hidup rakyat. Hentikan kezaliman terhadap pembangkang. 

“Apabila kita menjaga rakyat, kita yakin dan kita percaya pasti Allah akan memberi keberkatan kepada kita, dan ekonomi kita meningkat.

“Jadi itu saya menyeru kepada semua kepimpinan kerajaan supaya sama-sama kita melihat realiti kehidupan beban yang dihadapi oleh rakyat.

“Dan hendaklah bersungguh-sungguh dengan keikhlasan untuk sama-sama bantu bukan melepas dendam kepada pembangkang,” seru beliau. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -