Isu perkahwinan rentas sempadan fokus utama lawatan ke Thailand

Ustaz Azam ketika sesi perbincangan bersama Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani (bahagian syarie), Makmun Daud.
- Advertisement -

ALOR SETAR: Isu perkahwinan rentas sempadan antara topik perbincangan sempena lawatan kerja Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Azam Abdul Samat ke Pejabat Majlis Agama Islam Pattani (bahagian syarie), semalam.

- Advertisement -

Lawatan kerja yang turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Perpaduan negeri, Dato’ Halimaton Saadiah Saad itu disambut oleh Timbalan Yang Dipertua Majlis Agama Islam Pattani, Makmun Daud.

Menurut Azam, isu yang dibincangkan berkenaan perkara berbangkit selepas perkahwinan luar sempadan khususnya di selatan Thailand yang berkait rapat hak isteri dan anak-anak.

“Apa yang penting dan menjadi keperluan perkahwinan yang melibatkan rakyat Malaysia di sempadan negara jiran, perlu didaftarkan di Malaysia melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam negeri masing-masing.

“Hal ini penting supaya hak anak-anak dan isteri dapat diberi sepenuhnya seperti perkahwinan dalam negara,” jelasnya, di sini.

Katanya, sesi libat urus dan soal jawab dikendalikan oleh Makmun, selain taklimat khas oleh salah seorang kakitangan pejabat berkenaan.

“Pertemuan ini amat bermakna kerana seringkali isu-isu berbangkit daripada perkahwinan yang tidak didaftarkan ini seperti anak-anak yang tidak perolehi kad pengenalan dan menyukarkan proses masuk ke alam persekolahan.

“Selain anak-anak perempuan yang tidak dapat berwalikan bapanya ketika nak berkahwin, isteri-isteri yang tidak dapat haknya termasuklah harta pusaka,” jelasnya lagi.

Justeru, beliau mengharapkan lawatan itu dapat membantu pihak jabatan untuk menguruskan isu-isu berbangkit dengan kerjasama agensi-agensi yang lain.

Dalam pada itu, Azam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, menasihatkan mereka yang terlibat dengan perkahwinan di luar negara khususnya rakyat Kedah agar segera mendaftar di Jabatan Hal-Ehwal Agama negeri masing-masing.

“Daftar segera dalam tempoh enam bulan dari tarikh perkahwinan bagi mengelak bebanan dan masalah pada masa hadapan,” nasihatnya.

Lawatan Kerja Isu Perkahwinan Rentas Sempadan Kerajaan Negeri Kedah siri kedua itu berlangsung selama tiga hari bermula 25 Februari lalu.

Selain kunjungan ke Majlis Agama Islam Pattani, rombongan turut mengadakan lawatan Pejabat Daerah Kabang dan Kediaman Speaker Dewan Parlimen, Thailand. – HARAKAHDAILY 28/2/2024

- Advertisement -