
KANGAR: Ziarah Mahabbah merupakan program mingguan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bintong, Mohd Fakhrul Anwar Ismail, walaupun sibuk dengan tugasan.
Katanya, program seumpama itu bukan sahaja mengeratkan lagi hubungan dengan rakyat sebaliknya memberi senyuman (kegembiraan) kepada penduduk tempatan terutama yang memerlukan.
“Sibuk macam manapun saya tetap akan turun ziarah ke rumah penduduk.
“Bila kita sendiri yang hadir ke rumah mereka, secara tidak langsung dapat bertanya khabar dan bersembang isu-isu yang boleh diketengahkan,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sempena program itu, sebanyak lima buah rumah berjaya diziarahi di sekitar Unit Daerah Mengundi (UDM) Hutan Melintang dan Kampung Pondok.
Penduduk yang diziarahinya turut diberikan sumbangan barangan keperluan harian seperti sardin, gula, bihun kering, susu tin dan sebagainya berjumlah RM50 setiap pek.
Lawatan dan ziarah itu turut disertai Pengerusi Majlis Pembangunan dan Keselamatan Kampung (MPKK) Kampung Pondok, Abdul Yasir Abdul Rahman. – HARAKAHDAILY 27/2/2024











