
PORT DICKSON: Realiti kehidupan rakyat yang dilihat di lapangan tidak sama dengan dakwaan Perdana Menteri (PM) bahawa usaha membasmi ‘kemiskinan tegar’ di Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan sudah mencapai 100 peratus.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Pinang, Ustaz Abdul Fatah Zakaria berkata, itu adalah apa yang beliau dan pasukannya melihat sendiri setiap kali turun bertemu dengan rakyat.
Tambahnya, perkara itu juga tidak selaras dengan kenyataan yang pernah dibuat oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun pada penghujung Disember lepas bahawa ‘kemiskinan tegar’ di negeri ini telah hapus 100 peratus.
“Apa yang didakwa MB agak jauh daripada realiti. Terdapat keluarga yang tidak mempunyai kewangan yang cukup untuk bekalan makanan.
“Takrifan ‘miskin tegar’ itu hanya menurut data statistik. Tiada sokongan data yang lain seperti komitmen dari segi jumlah tanggungan dan masalah yang dihadapi mereka,” katanya.
Beliau mengambil contoh, seorang ketua isi rumah (KIR) dalam kategori ‘miskin tegar’ (pendapatan bawah RM1,169) yang hanya mempunyai seorang anak tidak sama keadaannya dengan kategori ‘miskin’ (pendapatan bawah RM2,589) yang punyai anak seramai lima orang.
“Pendapatan KIR kategori ‘miskin’ tadi sekali ganda daripada ‘miskin tegar’ tetapi komitmennya lima kali ganda.
“Begitu juga mereka yang mempunyai ahli keluarga OKU dan sakit lebih tinggi komitmen mereka daripada yang normal,” ujarnya lagi.
Selain itu, beliau berpendapat pemberian sumbangan tunai tidak akan memberi penyelesaian jangka panjang untuk mengeluarkan isirumah daripada kitaran kemiskinan.
“Kerajaan juga harus memantau sama ada KIR mempunyai minda dan daya usaha untuk meningkatkan pendapatan, selain memastikan prestasi pendidikan anak-anak mereka di tahap yang memuaskan. Ibarat memberi ikan atau jala untuk menangkap ikan, saya fikir kedua-duanya harus seiring.
“Saya kira program pembangunan asnaf telah sedia ada di bawah agensi sedia ada seperti Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan sebagainya. Kita cuma perlukan pemantauan di lapangan,” ujarnya.
Tambahnya lagi, semua ADUN pembangkang di negeri itu juga bersedia memberi komitmen dan kerjasama demi kemaslahatan umum.
Jelas beliau, untuk masa ini ADUN-ADUN pembangkang tidak menerima peruntukan khusus, namun tetap bertindak sebagai mata dan telinga agensi di peringkat daerah untuk turun ke lapangan dan mendaftarkan golongan rentan kepada agensi berkaitan. – HARAKAHDAILY 27/2/2024











