
KOTA BHARU: Pasangan Sabri Yunus yang dikenali Pok Ya Cong Codei dan Ardini Angeline Tan disambut meriah dengan bertemakan zaman tradisional 60-an pada majlis meraikan sambut menantu silang budaya dan adat.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Dato’ Nasurudin Daud berkata, majlis berkenaan turut diraikan oleh penduduk setempat dengan aktiviti ‘bekwoh’ dan pemakaian tradisional seperti smutar dan batik serta disajikan dengan persembahan silat.
“Majlis dimeriahkan lagi dengan kehadiran pelakon-pelakon veteran antaranya Mustapha Kamal, Hamidah Wahab dan Sabree Fadzil. Turut hadir juga tetamu berbangsa Cina yang juga merupakan keluarga Angeline Tan,” katanya dalam ciapan di laman Facebook miliknya, pada Isnin.
Terdahulu, majlis berkenaan diadakan sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 bertempat di Kandis, Bachok.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran keluarga bangsa Cina belah pengantin perempuan dan sahabat handai veteran pengantin lelaki. – HARAKAHDAILY 27/2/2024











