
SYAABAN merupakan bulan yang terletak di antara Rejab dan Ramadan. Bulan ini mempunyai banyak keutamaan. Terdapat beberapa amalan khusus yang dilakukan oleh Rasulullah SAW pada bulan Syaaban seperti memperbanyakkan puasa pada bulan ini.
Bulan diangkat amalan soleh
Sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Usamah bin Zaid RA yang berkata; “Aku bertanya kepada Rasulullah SAW, Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau (banyak) berpuasa dalam satu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Syaaban?” Jawab Rasulullah SAW, “Itulah bulan yang manusia lalai mengenainya; antara Rejab dan Ramadan. Padanya (bulan Syaaban) diangkat amalan hamba-hamba Allah. Aku suka tidak diangkat amalanku, melainkan aku dalam keadaan berpuasa”. (HR An-Nasa’i no. 2357).
Dalam hadis ini, Rasulullah SAW mengkhabarkan bahawa amal setiap hamba akan diangkat kepada Allah SWT dalam bulan Syaaban. Sebab itulah Baginda SAW memperbanyakkan puasa sunat pada bulan ini.
Ini kerana pada bulan Syaaban, ramai manusia yang masih lalai dari beramal soleh, mereka hanya bersemangat untuk melakukan amal soleh apabila kedatangan Ramadan sedangkan amat rugi jika mereka tidak bersungguh-sungguh melakukan amal soleh pada bulan ini.
Perbanyakkan puasa sunat pada Syaaban
A’isyah RA menceritakan bahawa, “Rasulullah SAW kerap berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak pernah berbuka (berpuasa terus). Namun, Baginda SAW juga kerap tidak berpuasa sehingga kami katakan bahawa Baginda SAW tidak pernah berpuasa. Aku tidak melihat Baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada Ramadan dan aku juga tidak pernah melihat Baginda SAW paling banyak berpuasa sunat dalam sebulan kecuali pada Sya’ban” (HR al-Bukhari no. 1969 dan Muslim di bawah hadis no. 1156)
Berpandukan hadis di atas, menunjukkan bahawa kita amat digalakkan untuk berpuasa sunat pada Syaaban kerana ia adalah sunnah yang benar daripada Nabi SAW.
Selain berpuasa sunat, kita digalakkan mengerjakan amalan-amalan sunat lain seperti banyak bersedekah, solat sunat, membaca al-Quran, dan berzikir bagi mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Pengampunan Allah pada malam Nisfu Syaaban
Daripada sahabat Abu Musa al-Asy’ari RA, bahawa Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah SWT melihat pada malam Nisfu Syaaban kemudian mengampunkan dosa semua makhluk-Nya kecuali orang yang syirik dan juga orang yang bermusuhan”. (HR Ibnu Majah, no. 1390).
Tidak kira sesiapa sahaja hamba-Nya, baik melakukan dosa sebanyak mana pun tetap akan diampunkan oleh Allah SWT pada malam Nisfu Syaaban selagi tidak syirik kepada Allah SWT dan tidak memiliki sifat dengki dan pendendam serta bermusuhan sesama saudara muslimnya yang lain.
Betapa besarnya pengampunan Allah SWT yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang kepada hamba-hamba-Nya yang sering melakukan dosa kepada-Nya.
Walaupun kelebihan malam Nisfu Syaaban adalah jelas, namun tidak ada amalan khusus yang dilakukan pada malam itu. Sebaliknya, amalan biasa seperti memperbanyakkan zikir, beristighfar kepada Allah SWT, solat sunat, berdoa dan bersedekah boleh dilakukan pada malam itu.
Larangan berpuasa setelah pertengahan Syaaban
Namun terdapat tegahan daripada Nabi SAW untuk berpuasa setelah berlalu pertengahan Syaaban dan hampir menuju ke bulan Ramadan.
Ini berdasarkan sebuah hadis dari Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda yang bermaksud, “Apabila telah masuk pertengahan bulan Syaaban, maka janganlah berpuasa.” (HR. Abu Daud no. 2337, At-Tirmidzi no. 738 dan Ibnu Majah no. 1651).
Larangan dalam hadis ini tidak termasuk kepada orang yang qada puasa fardu Ramadan yang tertinggal disebabkan keuzuran. Bahkan jika kita memiliki hutang puasa, maka wajib qada sebelum tiba bulan Ramadan berikutnya.
A’isyah RA menceritakan bahawa, “Dahulu aku memiliki hutang puasa Ramadan, sementara aku tidak dapat mengqadanya kecuali sampai bulan Syaaban, kerana sibuk melayani Rasulullah.” (HR. Al-Bukhari no. 1950 dan Muslim no 1146).
Sesungguhnya larangan ini (berpuasa setelah pertengahan bulan Syaaban) adalah bagi orang yang baru hendak memulai puasa sunat, sementara dia tidak pernah melazimi berpuasa sunat sebelumnya seperti berpuasa pada hari-hari putih tiga hari setiap bulan atau berpuasa pada hari Isnin dan Khamis setiap minggu.
Imam Ibnu Hajar dalam kitab Fathul Baari mengatakan, “Larangan ini adalah ke atas orang yang tidak memiliki kebiasaan berpuasa. Jika dia memiliki kebiasaan puasa (puasa sunat tiga hari sebulan atau Isnin dan Khamis) maka tidak mengapa dia berpuasa pada pertengahan kedua dari bulan Syaaban.” (Fathul Baari: 4/215).
Sesungguhnya Syaaban merupakan bulan persiapan menjelang Ramadan, bulan yang dinanti-nantikan oleh orang yang beriman. Oleh yang demikian, kita perlu memanfaatkan Syaaban dengan memperbanyakkan amalan ibadah serta memperbaiki diri agar bersedia untuk bertemu dengan Ramadan al-Mubarak, bulan yang penuh dengan keberkatan.-HARAKAHDAILY 24/2/2024











