
SLE itu apa? Apa kaitannya dengan lupus? Anda pasti tertanya apa itu penyakit lupus. Pernah lihat gambar penyakit lupus?
Pakar Perunding Rheumatologi, Hospital Queen Elizabeth, Dr Hairul Hadi Ariff, berkata sistemik lupus eritematosus (SLE) atau lupus adalah penyakit kronik autoimun di mana antibodi seseorang bertindak balas dengan nukleus sel tisu badan seseorang pesakit itu sendiri.
“Ini menjejaskan beberapa bahagian sistem tubuh seperti kulit, sendi, buah pinggang, paru-paru, sistem saraf atau organ-organ lain di dalam badan.
“Lupus berasal dari perkataan Latin bererti serigala. Ini adalah kerana seorang doktor Perancis yang mula-mula merawat pesakit lupus mengibaratkan tompok-tompok kemerahan di muka pesakit sebagai gigitan serigala,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi bual bicara, ‘Apa Itu SLE?’ yang dianjurkan Persatuan SLE Malaysia HQ dalam talian.
Selain itu, Dr Hairul berkata, gejala biasa dialami oleh pesakit ialah radang kulit dan sakit sendi yang selalunya diiringi oleh keletihan dan demam.
“Penyakit SLE ada masanya tidak aktif, iaitu dapat dikawal dan ada masanya menjadi aktif.
“SLE boleh menjejaskan organ-organ dalam tubuh seperti buah pinggang, paru-paru, sistem saraf, saluran darah dan jantung,” katanya.
Sehubungan itu, katanya, SLE dapat dikesan berdasarkan beberapa kriteria klinikal dan ujian makmal.
“Di makmal Unit Autoimun, kami menjalankan ujian auto-antibodi yang khusus untuk membantu diagnosa SLE iatu ujian antigen nuklear boleh diekstrak (ENA). Ini termasuk anti-Sm, anti-RNP, anti-Ro (SSA), dan anti-La (SSB).
“Rawatan kepada pesakit SLE adalah bergantung kepada gejala dan tahap penyakit yang dialami.
“Gabungan ubat-ubatan seperti ubat anti-radang bukan steroid (NSAIDs), hydroxychloroquine, kortikosteroid dan immunosupresif biasanya digunakan bagi mengawal penyakit dan menghalang organ-organ yang diserang dari terus rosak,” katanya lagi.
Justeru, pencegahan dan rawatan penyakit SLE atau lupus selalunya dirawat berdasarkan tanda dan gejala yang muncul agar pesakit dapat berunding dengan doktor mengenai rawatan sesuai untuk tahap penyakit dialami. – HARAKAHDAILY 24/2/2024











