Ustaz Hassan berjasa kepada pembangunan PAS Kedah

- Advertisement -

ALOR SETAR: Allahyarham Ustaz Hassan @ Abdul Raman Abdul Razak, bukan calang-calang orang di mana antara pemimpin yang banyak berjasa kepada pembangunan PAS Kedah, demikian kata Pesuruhjaya PAS Kedah, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya.

- Advertisement -

Beliau ketika dihubungi Harakahdaily berkata, mantan Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Kulim Bandar Baru itu juga antara penyumbang utama kewangan kepada pembangunan serta pentadbiran Pertubuhan Anak-Anak Yatim (Daya) di Batu 9, Kompleks PAS Kedah.

“PAS Kedah merasa amat terkesan dengan kehilangannya yang diibaratkan umpama permata perjuangan PAS di Kedah dan kepada masyarakat Islam,” ujar beliau.

Ahmad berkata, beliau mendapat perkhabaran berkenaan kematian Ustaz Hassan melalui menantunya, beberapa minit selepas Allahyarham menghembuskan nafas terakhir.

“Beliau kembali kepangkuan Allah  di malam yang mulia, bulan yang mulia, semoga Allah menerima segala amal bakti dan jihadnya,” tambah Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat itu lagi.

Mengulas lanjut, Allahyarham katanya, pernah menjawat jawatan Timbalan Pesuruhjaya PAS Kedah dan agak lama diberi amanah sebagai YDP Kawasan Kulim Bandar Baru selain sebagai Pegawai Khas kepada Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.

“Memiliki kepetahan berhujah, bersuara lantang dan bersemangat sehingga disebut ceramah Ustaz Hasan boleh ‘terbit api’.

“Al-Marhum juga berjasa memimpin dan membimbing jemaah umrah serta berperanan sebagai guru agama kepada masyarakat di Utara Semenanjung.

“PAS Kedah mengucapkan takziah kepada isteri dan ahli keluarganya dan semoga bersabar atas kehilangan insan istimewa ini,” ulasnya lanjut.

Ustaz Hassan @ Abdul Raman, 73, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.44 petang semalam setelah jatuh sakit hampir dua tahun lalu.

PAS Kedah kehilangan pemimpin dan amilin yang amat istiqamah lagi tinggi kesetiannya kepada parti, kata Ahmad lagi. – HARAKAHDAILY 23/2/2024

- Advertisement -