Mesyuarat Majlis Raja-Raja bincang banyak agenda negara

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan turut berangkat hadir Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ibni Sultan Iskandar telah berlangsung di Istana Negara, hari ini.

- Advertisement -

Penyimpan Mohor Besar Raja-raja berkata, majlis telah disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara Malaysia, Tan Sri Razarudin Husain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Mohammad Ab Rahman.

“Perkara pelantikan Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam serta Cadangan-cadangan Rang Undang-undang (RUU) Polis (Pindaan) 2023 dan RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berhubung hal-hal Kewarganegaraan, telah pun dibincangkan. 

“Beberapa perkara lain, yang melibatkan pentadbiran Agama Islam dan hal-hal di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) termasuk pelantikan Pengerusi MKI, juga telah dibincangkan,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, memandangkan Mesyuarat ini adalah yang pertama kali dihadiri Sultan Ibrahim, sebagai Yang di-Pertuan Agong XVII, Tuanku Pengerusi, telah menzahirkan titah tahniah kepada Baginda mewakili pihak Majlis.

“Seterusnya disahuti dengan titah balas oleh Yang di-Pertuan Agong XVII,” katanya kenyataan tersebut, hari ini.

Turut berangkat ke mesyuarat hari ini ialah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah; Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah dan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Johor diwakili Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim; Perlis oleh Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail; Pahang oleh Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Kelantan diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra.

Mesyuarat turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak; Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam dan Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tidak hadir ke mesyuarat itu kerana menghadiri istiadat penghormatan negeri bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud yang meninggal dunia semalam.

Mesyuarat pada hari ini turut disertai Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Raja-Raja Melayu diiringi Menteri Besar masing-masing manakala Yang di-Pertua Negeri diiringi Ketua-Ketua Menteri. – HARAKAHDAILY 22/2/2024

- Advertisement -