
KOTA BHARU: Biarpun sudah bergelar As-Sabiqat atau Veteran Muslimat, Minah Awang Ngah, 75 masih semangat mengikuti perkembangan semasa berkenaan PAS, biarpun kudratnya semakin hari kian hilang.
Dia yang kini menetap di Kampung Telaga Ara Gunung, dekat sini, mengikut jejak langkah almarhum ibunya, Makalthum Salleh menjadi antara individu yang mendokong perjuangan PAS sejak awal penubuhannya.
“Mula terlibat dengan PAS ini sejak orang tua lagi, emak kita pun ahli PAS dan kita anak-anak pun ikut dan benda ini saya teruskan juga kepada anak-anak dan cucu saya untuk bersama parti ini.
“Orang tua saya pernah pesan ketika dia nak mati jangan tinggalkan perjuangan ini, adik-beradik saya pun semua PAS, anak-anak tinggal di Kuala Lumpur ke Melaka ke semua ikut menyokong PAS,” katanya.

Terdahulu dia menerima penghargaan disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelawat, Zameri Mat Nawang pada Majlis Ramah Mesra As-Sabiqat Negeri Kelantan bersama Hal Ehwal Wanita (Halwa) DUN.
Sementara itu Esah Mat Diah, 78 dari Kampung Tepus pula gembira kerana mendapat penghargaan dari Dewan Muslimat DUN Jelawat dan menganggap segala usaha dicurahkan dahulu mendapat pengiktirafan pihak DUN.
Dia berkata, penglibatan bersama parti adalah kerana saranan keluarga yang juga merupakan pendukung perjuangan PAS, selagi parti berada pada dasar dan landasan betul iaitu memperjuangkan kehidupan Islam.
“Saya sudah terlibat dengan parti ini sudah lama, saya bermula pun dengan PAS dah, ibu bapa saya dahulu pun menjadi penyokong PAS, jadi saya hanya mewarisi apa yang ditinggalkan oleh mereka untuk bersama PAS.
“Oleh itu nasihat saya kepada orang muda terus istiqamah bersama perjuangan ini, jangan pergi berubah kerana dasar perjuangan parti kita ini sudah jelas iaitu al Quran dan Sunnah tidak akan berubah,” katanya.

Dalam pada itu seramai 18 veteran muslimat atau As-Asabiqat menerima penghargaan terhadap usaha serta bakti yang dicurahkan sehingga PAS dapat mengambil alih tampuk pemerintahan negeri pada tahun 1990.
Ketua Muslimat Dewan Undangan Negeri (DUN) Jelawat, Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, meskipun berumur antara 70 hingga 80, namun masih aktif dalam program parti walaupun kudrat tidak segagah dahulu.
Beliau berkata, program kebajikan dilaksanakan oleh kerajaan negeri pada hari ini, merupakan hasil perjuangan As-Asabiqat yang bertungkus lumus dalam serba kekurangan memberi kemenangan kepada PAS.
“Ini semua atas hasil usaha mereka inilah, maka generasi baru ini dapat merasai pemerintahan kerajaan negeri dan kita dapat melaksanakan kebajikan dan kemudahan untuk rakyat, semua ini hasil usaha orang lama ini.
“Sebab itu kita memberi penghargaan hari ini majlis kecil sahaja kita baru menjemput setiap Unit Daerah Mengundi (UDM) seorang sahaja wakil Muslimat As-Sabiqat bekerja untuk parti dan dapat kemenangan 1990,” katanya. – HARAKAHDAILY 22/2/2024













