
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan bahawa jualan umum bunga api hanya dibenarkan bagi setiap perayaan di Malaysia.
Setiausaha Polis Malaysia, Deputi Komisioner Polis (DCP) Alzafny Ahmad, menerusi satu kenyataan berkata, sebanyak 45 item bunga api telah diluluskan untuk dijual sejak 2018 dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan.
“Sebanyak 36 item bunga api jenis ‘happy boom dan pop-pop’ bagi kategori jualan umum. (Sementara), sembilan item bunga api dalam kategori bersyarat dan tidak boleh diniagakan oleh umum kecuali ejen berlesen.
“Syarat-syarat yang perlu dipatuhi oleh peniaga bagi kedua-dua kategori adalah hendaklah mempunyai tempat simpan selamat yang telah disahkan oleh bahagian persenjataan PDRM.
“(Seterusnya) mempunyai lesen dan tidak boleh dipindahkan milik, hanya pemilik lesen sahaja yang dibenarkan untuk menjual bunga api, satu lesen hanya boleh dikeluarkan kepada satu pemohon di satu lokasi sahaja dan tidak menjual bunga api kepada pembeli berumur kurang dari 18 tahun,” katanya.
Tambah Alzafny, penjualan bunga api secara talian juga dilarang sama sekali dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) yang boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda sebanyak RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, katanya, masyarakat juga diingatkan agar tidak bermain bunga api melebihi jam 12 tengah malam kerana mengundang gangguan atau bahaya kepada umum.
“Sekiranya ingkar tindakan boleh diambil di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) atau Seksyen 7 Akta Bahan Letupan 1957 yang boleh dijatuhi hukuman penjara tujuh atau atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Di samping itu, beliau menasihatkan orang ramai agar bermain bunga api di kawasan lapang supaya tidak mengganggu ketenteraman awam dan mendatangkan kegusaran kepada penduduk setempat.
“Masyarakat juga diseru agar lebih bertanggungjawab dan mengamalkan langkah-langkah keselamatan serta sentiasa berwaspada semasa bermain bunga api dalam mana-mana sambutan perayaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024











