
PUTRAJAYA: Satu reformasi menyeluruh perlu dibuat ke atas undang-undang jenayah di Malaysia agar sepenuhnya menepati prinsip syariah, sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Muhammad Fathi Yusof berkata demikian sebagai mengulas antara petikan penghakiman sembilan hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.
Iaitu dalam kes petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang diputuskan bahawa Enakmen Jenayah Syariah Kelantan batal dan tidak sah di Mahkamah Persekutuan, Istana Kehakiman, di sini pagi tadi.
Tengku Maimun dalam ulasan penghakiman itu menyatakan bahawa Mahkamah Syariah di Malaysia setakat hari ini tidak melaksanakan hukuman hudud atau qisas, hanya takzir, manakala Mahkamah Sivil juga melaksanakan hukuman takzir.
Beliau menghujahkan bahawa keadaan sebegitu tidak ada bezanya Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil kerana kedua-dua sistem Syariah dan Sivil melaksanakan hukuman takzir.
“Perbezaannya cuma hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Syariah adalah bersumberkan atau mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Negeri dan diluluskan oleh Badan Perundangan Negeri.
“Manakala hukuman takzir yang dilaksanakan oleh Mahkamah Sivil adalah mengikut undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah di peringkat Persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen,” ujar Maimun.
Kenyataan ini ulas Dr Fathi, mengesahkan bahawa Kerajaan Persekutuan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan takzir yang merupakan salah satu aspek dalam undang-undang jenayah Islam, selain hudud dan qisas.
“Memandangkan hudud dan qisas di luar bidang kuasa negeri, maka tanggungjawab melaksanakan hudud dan qisas juga terletak pada kerajaan Persekutuan,” ujar pensyarah di Pusat Polisi Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak itu. – HARAKAHDAILY 9/2/2024











