
KUALA LUMPUR: Keputusan petisyen Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid yang tidak berpihak kepada Badan Perundangan Negeri Kelantan benar-benar telah melukakan perasaan seluruh umat Islam.
Ketua Pembangkang, Dato Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan sebegitu berpotensi untuk menggugat Enakmen Jenayah Syariah di seluruh negeri dalam negara ini.
“Enakmen-enakmen jenayah syariah bakal menerima risiko pembatalan yang sama hasil daripada kemenangan petisyen tersebut yang berlaku pada hari ini.
“Perkembangan ini memperlihatkan adanya kelompongan serius dalam kuasa serta bidang kuasa berkaitan dengan Hak Menganut dan Mengamal (profess and practice) majoriti rakyat Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, keputusan sebegini boleh mendatangkan impak besar dalam menghakis kuasa serta bidang kuasa Raja-Raja Melayu sebagai ketua agama Islam.
Tambah beliau, Raja-Raja Melayu termasuk Yang di-Pertuan Agong semasa mengangkat sumpah jawatan mengikut Perkara 37 (1) telah bersumpah untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.
“Saya ingin mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia bahawa terdapat Wasiat Raja-Raja Melayu semasa pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang antara lain mewasiatkan “kami mengisytiharkan Islam adalah agama rasmi Persekutuan,”
“Dalam wasiat tersebut juga ada menambah “kami mengamanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang melayu,” ujarnya.
Kata beliau lagi, terdapat keperluan untuk pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam memperkasakan undang-undang syariah terutamanya berkaitan Hak Menganut dan Mengamal majoriti rakyat yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.
Beliau menyeru kepada semua pihak yang berkepentingan supaya duduk semeja tanpa dibatasi sempadan politik bagi menjayakan hasrat tersebut.
“Maka saya akan memohon menghadap untuk menyerahkan memorandum khas kepada Ke-bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) dalam masa terdekat,” katanya. – HARAKAHDAILY 9/2/2024











