
KUALA LUMPUR: Umat Islam digesa hadir ke Himpunan Selamatkan Syariah pada 9 Februari di hadapan Istana Kehakiman Putrajaya, esok untuk menyatakan solidariti terhadap Undang-undang Syariah di Malaysia.
Perikatan Nasional melalui kenyataannya berkata, kes Nik Elin yang mencabar 20 kesalahan jenayah syariah negeri Kelantan bakal membekaskan suatu impak yang signifikan kepada hak dan maruah umat Islam di Malaysia.
Dua perkara utama menurut kenyataan tersebut, perlu diketahui oleh umat Islam mengenai keputusan kes Nik Elin tersebut.
Pertama menurutnya, keputusan tersebut akan tentukan peruntukan 20 kesalahan jenayah syariah yang dicabar ini sama ada diisytiharkan tidak sah ataupun dikekalkan seperti sedia ada.
Keduanya, keputusan yang akan dibacakan tersebut bakal tentu masa depan kesalahan jenayah syariah di negeri-negeri sama ada keputusan kes ini akan menjadi kes terdahulu yang dirujuk dan digunakan bagi cabar peruntukan yang sama di negeri-negeri lain ataupun tidak.
“Sebagai umat Islam, perundangan Islam merupakan hak kita untuk diadili bawahnya. Namun, hak umat Islam ini sering kali dicabar dari semasa ke semasa walaupun kuasa Undang-undang Syariah di Malaysia ini hanyalah kecil sahaja dan sedikit pun tidak mengancam masyarakat bukan-Islam.
“Justeru, hak ini tidak seharusnya digugat dan perlu dipertahankan oleh semua umat Islam dengan tegas. Ketepikan segala latar belakang bangsa dan warna parti politik masing-masing,” tambah kenyataan tersebut. – HARAKAHDAILY 8/2/2024











