
KUALA KRAI: Seramai 200 orang sukarelawan mewakili pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan turun padang gotong royong membersihkan Tangga Krai (Tangga Bradley) yang ditenggelami lumpur.
Program Gotong Royong Bersepadu di Tangga Krai adalah anjuran Pertubuhan Sukarelawan Wira Rakyat Kuala Krai membabitkan NGO Barracuda Adventure Team, Barracuda Kembara, Barracuda Supporter, Lacar Group, Kelab Ukhuwwah Krai dengan dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kuala Krai, Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Krai, Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kuala Krai, Majlis Daerah Kuala Krai (MDKK), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Krai serta orang awam.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Guchil, Hilmi Abdullah berkata, usaha memantau dan memelihara perlu diteruskan dalam menjaga tempat-tempat bersejarah yang mempu dimajukan khususnya dapat melonjakan sektor pelancongan.
“Di Kelantan khususnya di daerah Kuala Krai terdapat banyak tempat-tempat menarik tinggalan sejarah yang sepatutnya diberi perhatian oleh semua pihak untuk memeliharanya.
“Tempat-tempat tinggalan sejarah berpotensi besar untuk dimajukan bagi membantu pembangunan sektor ekopelancongan di Kelantan pada masa ini.
“Kerjasama dan semangat seperti ini hendaklah diteruskan dalam usaha membantu kerajaan negeri mempromosikan tempat-tempat menarik di Kelantan khususnya sempena Tahun Melawat Kelantan 2024 (TMK2024),” ujarnya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri. Turut hadir, Pengarah Bersama Barracuda Krai, Dr Wan Mastok Shariff. – HARAKAHDAILY 7/2/2024











