Sahabat Ameerah fokus ahli baharu

- Advertisement -

SUNGAI PETANI: Ameerah Dewan Muslimat PAS Negeri (DMPN) Kedah akan memberi tumpuan kepada mencari ahli baharu menjelang sedekad penubuhannya di negeri itu.

- Advertisement -

Pengarahnya, Syarifah ‘Aliaa Syazwani Syed Roslan berkata, pelancaran Sahabat Ameerah pada sambutan sedekad itu dijadikan platform memudahkan anak-anak muda menyertai Ameerah.

“Melalui Sahabat Ameerah ini, sesiapa yang ingin menjadi ahli Ameerah khusus yang berumur 18 hingga 40 tahun boleh mendaftar dengan hanya ‘scan’ di QR Code yang disediakan,” jelasnya sebaik sahaja selesai gimik pelancaran Sahabat Ameerah sempena Sambutan Sedekad Ameerah Kedah di Pantai Merdeka, lewat petang semalam.

Justeru beliau mengharapkan kerjasama dan pengemblengan tenaga bersama Ameerah di peringkat Dewan Muslimat PAS Kawasan (DMPK) agar matlamat penambahan ahli Ameerah dalam dua tahun ini memberangsangkan.

Selain itu jelas Alia lagi, pada 2024 ini juga Ameerah turut memberi tumpuan kepada perkaderan untuk melatih muka-muka baharu di setiap peringkat sebagai palapes untuk pemimpin Ameerah kini.

“Kita perlu melatih muka-muka baharu di dalam Ameerah ini agar mampu menerajui Ameerah pada masa akan datang,” tambahnya lagi.

Pada Sambutan Ameerah Kedah itu, ditampilkan dua pemimpin Ameerah Kedah terdahulu iaitu Nurul Ain Bukhori dan Dr Nurul Izzati Habin, manakala seorang lagi pemimpin Ameerah sebelum ini, Suhaidah Salamon tidak dapat hadir.

Kehadiran kedua-dua mantan Pengarah Ameerah Kedah itu secara tidak langsung memberi suntikan semangat kepada kira-kira 100 peserta pada petang itu.

Dalam masa yang sama, Ameerah DMPK Kulim Bandar Baru menerima anugerah Ameerah Istiqamah, manakala Ameerah DMPK Pendang (Ameerah Idola) dan Ameerah DMPK Merbok dinobatkan sebagai Ameerah Unggul.

Hadiah-hadiah dan cenderahati disampaikan oleh perasmi program, Pengarah Strategi dan Pengurusan Risiko, Dewan Muslimat PAS Negeri Kedah, Sarina Ismail. – HARAKAHDAILY 4/2/2024

- Advertisement -