Iran singkir Jepun: Rakyat, kerajaan gembira

Skuad bola sepak kebangsaan Iran meraikan kejayaan mereka menewaskan Jepun dalam perlawanan suku akhir Piala Asia 2023 di Stadium Education City di al-Rayyan, Doha, Qatar pada 3 Feb 2024. (FOTO: The Express Tribune)
- Advertisement -

DOHA: Presiden Ebrahim Raeisi telah menelefon ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Iran susulan kejayaan skuad itu menewaskan Jepun pada suku akhir Piala Asia 2023, sekali gus melayakkan diri ke separuh akhir.

Raeisi membuat panggilan telefon kepada Amir Ghalenoei, ketua jurulatih bola sepak negara pada petang Sabtu (3 Feb) untuk menyatakan kesyukuran kepada Allah SWT dan kerana telah mengembirakan rakyat Republik Islam it  atas kejayaan tersebut.

- Advertisement -

Beliau menghargai segala usaha yang telah dilakukan semua pemain dan kakitangan skuad tersebut dan menzahirkan harapan agar kejayaan pasukan bola sepak kebangsaan Republik Islam itu akan berterusan sehingga ke final, lapor IRNA.

Dalam perbualan telefon itu, Ghalenoei pula melahirkan rasa terima kasih atas sokongan kerajaan dan presiden kepada skuad bola  tersebut, dan menyatakan bahawa setiap ahli pasukan kebangsaan telah bekerja keras untuk kemenangan dan kejayaan tersebut.

“Terus menyokong kami untuk meneruskan kejayaan dalam Piala Asia 2023,” tambahnya yang bersyukur dengan kejayaan di Stadium Education City, di al-Rayyan, di sini, disaksikan 36,000 penonton itu.

Dalam perbualan telefon itu juga, Mehdi Taremi, penyerang skuad itu yang tidak beraksi dalam perlawanan menentang Jepun itu, melahirkan harapan agar kesemua pemain dapat meneruskan kegembiraan rakyat Iran dengan kejayaan dan kemenangan yang berterusan.

Penyerang Jepun, Daizen Maeda menanduk bola melepasi pemain pertahanan Iran, Ramin Rezaeian dalam perlawanan suku akhir Piala Asia AFC Qatar 2023. (FOTO: AFP)

Iran yang menyingkirkan juara empat kali Jepun daripada gelanggang Piala Asia 2023 itu dan akan bertemu dengan Qatar pada separuh akhir Piala Asia, lapor pula AFP, selepas Alireza Jahanbakhsh menjaringkan penalti pada minit ke-96 untuk kemenangan dramatik 2-1 ke atas negara matahari terbit itu.

Ia adalah kebangkitan semula yang menakjubkan dari Iran, yang ketinggalan pada waktu rehat tetapi kembali ‘mengaum’ untuk menyingkirkan pasukan kegemaran pra-kejohanan Piala Asia 2023 itu; dan mengekalkan impian mereka untuk merangkul kejuaraan Asia pertama sejak 1976.

Iran, yang memburu kejuaraan Piala Asia keempat selepas tiga kali juara, tidak pernah menewaskan Jepun dalam tempoh 19 tahun; manakala kemenangan terbaharu mereka itu juga memanjangkan rekod tanpa kalah Amir Ghalenoei kepada 16 perlawanan sejak beliau mengambil alih kendalian skuad itu pada Mac 2023.

Qatar menewaskan Uzbekistan untuk mara ke separuh akhir Piala Asia, juga dalam perlawanan  pada Sabtu, manakala Korea Selatan akan menentang Jordan pada separuh akhir pertama, Selasa (6 Feb) ini.  HARAKAHDAILY  4/2/2024

- Advertisement -