
BANGI: Seramai 200 orang pelajar berusia 6 tahun daripada 4 buah Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Bangi telah diraikan dengan penuh keceriaan dalam majlis gilang-gemilang di Majlis Anugerah Prestasi 2023 yang diadakan di Dewan Auditorium Abu Zarim, Institut Latihan Sultan Ahmad Shah.
Pengarah Majlis Anugerah Prestasi, Mohd Fairus Ismail memberitahu 4 buah PASTI yang diraikan pada hari ini terdiri daripada PASTI Fasa 4, PASTI Melor, PASTI Seksyen 15 dan PASTI Al-Furqan.
Beliau turut berkata pendidikan adalah tunjang utama dalam meniti kehidupan.
Katanya, berteraskan visi PASTI, melahirkan kanak-kanak soleh pintar di Malaysia iaitu melalui pendidikan prasekolah berteraskan Islam.
“Melalui pendidikan, seseorang itu mampu untuk menggilap kemahiran diri menggunakan pancaindera yang dianugerahkan oleh Allah SWT.
“Kemahiran membaca, mengira dan menulis daripada didikan dan tunjuk ajar daripada para guru diharapkan para pelajar meneruskan pendidikan ke tahap yang seterusnya.
“Pendidikan di PASTI yang berteraskan pendidikan Islam turut menawarkan kemahiran membaca Al-Quran, bacaan doa harian dan tatacara solat,” ujarnya ketika merasmikan Hari Penyampaian Anugerah Prestasi 2023 Konvokesyen PASTI, di sini, hari ini.
Yang turut hadir adalah Penasihat PASTI Bangi, Prof. Dr. Hj. Hamirdin Ithnin dan Pengerusi SRITI Darul Furqan, Ustaz Mohd Al Amin Mat Daud.
Bagi memeriahkan majlis yang berlangsung, para tetamu turut dipertontonkan dengan persembahan daripada para pelajar.
Beliau turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada anak-anak PASTI yang telah memperolehi kejayaan pada majlis hari ini.
Katanya lagi, kejayaan anak-anak PASTI adalah dengan pengorbanan para guru, komitmen daripada ibu bapa serta sokongan padu daripada pihak pengurusan.
“Majlis yang berlangsung pada hari ini adalah suatu permulaan kepada perjalanan yang masih jauh buat mereka.
“Ayuh, teruskan usaha dan sokongan kepada anak-anak ini agar mereka menjadi generasi pelapis kepada kekuatan ummah di masa hadapan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 4/2/2024











