
JORDAN: Wartawan dan aktivis menjadi sasaran perisian perisik Pegasus buatan Israel dengan penggodam menggunakan perisian hasad tersebut untuk memintas telefon pintar puluhan individu di negara ini, lapor Al-Jazeera memetik laporan NGO Access Now.
Penyiasatan itu mendedahkan, antara tahun 2020 hingga akhir 2023 sekurang-kurangnya 35 kes individu terdiri daripada wartawan, peguam dan aktivis menjadi sasaran menggunakan perisian yang dikeluarkan oleh NSO Group Israel.
“Kami percaya ini hanya hujung gunung ais yang berkaitan dengan penggunaan perisian hasad Pegasus di Jordan, dan jumlah sebenar mangsa kemungkinan jauh lebih tinggi,” kata Access Now dipetik Al-Jazeera.
Walaupun laporannya tidak menuduh Kerajaan Jordan menggunakan perisian perisik itu, ia memberi isyarat bahawa penggunaannya serentak dengan peningkatan penindasan hak ‘kebebasan bersuara, berkumpul, dan berhimpun rakyat’.
Kerajaan Jordan tidak memberi sebarang komen mengenai laporan itu daripada penyiasatan bersama yang dilakukan oleh kumpulan advokasi internet Access Now dan kumpulan hak asasi Citizen Lab serta rakan-rakan mereka itu.
Pegasus menurut laporan dipetik itu, boleh mengawal mikrofon dan kamera telefon serta mengakses dokumen; menjadi tumpuan ketika bocoran pada tahun 2021 yang membabitkan kira-kira 50,000 mangsa perisian hasad itu di seluruh dunia.
Laporan tersebut menyatakan, individu sasaran di negara ini termasuk dua kakitangan Human Rights Watch iaitu Timbalan Pengarah untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Adam Coogle serta Penyelidik kanan untuk Jordan dan Syria, Hiba Zayadan.
Keduanya dinyatakan oleh laporan tersebut telah menerima pemberitahuan ancaman dari Apple pada Ogos yang menyatakan penyerang terlatih negara itu telah cuba menggodam iPhone mereka.
Access Now mengatakan telefon Coogle digodam pada Oktober 2022, hanya dua minggu selepas penerbitan laporan yang mendokumentasikan penganiayaan terhadap warganegara yang menguruskan usaha politik damai.
Menurut laporan itu, ramai yang disasar itu sama ada telah bekerja atau terlibat mogok guru selama sebulan pada 2019 hingga mendorong pihak berkuasa menahan beratus-ratus golongan itu dan membubarkan persatuan mereka.
Laporan itu juga menyatakan bahawa kira-kira separuh daripada mereka yang ditemui telah menjadi sasaran iaitu 16 keseluruhannya terdiri daripada wartawan atau pekerja media.
Antara mereka adalah Daoud Kuttab, seorang wartawan Palestin-Amerika dengan telefonnya telah digodam tiga kali pada tahun 2022 dan 2023 dan menghadapi tujuh percubaan yang gagal.
“Dulu, hanya orang yang mendengar apa yang anda katakan, tetapi Pegasus lebih intrusif (mengganggu),” katanya menyuarakan kebimbangan bahawa penggodam boleh mendapat akses kepada kenalannya, petik agensi berita The Associated Press.
NSO Group menurut laporan itu, menghadapi beberapa tuntutan mahkamah dari Apple dan lain-lain, tetapi ia terus menjual produknya kepada kerajaan di seluruh dunia, dengan mengatakan bahawa ia hanya menjual perisian hasad kepada agensi perisikan dan penguatkuasaan undang-undang yang telah disemak dengan teliti demi keamanan.
Namun, penyelidik keselamatan siber yang telah menjejaki penggunaannya di 45 negara telah mendokumentasikan puluhan kes penyalahgunaan perisian hasad itu yang bermotifkan politik – dari Mexico ke Thailand dan Poland ke Arab Saudi.
Pada tahun 2021, Amerika Syarikat menjatuhkan sekatan kepada NSO Group, menuduhnya mengembangkan dan menyediakan perisian hasad kepada kerajaan asing ‘yang menggunakan alat ini untuk menyerang’ pelbagai pihak, termasuk wartawan dan aktivis.
Pengarah Dasar Access Now, Marwa Fatafta mengatakan, menyuarakan kebimbangan terhadap tidak adanya pengawasan umum terhadap syarikat-syarikat yang menawarkan perisian perisikan sedemikian.
Kata beliau, ia membenarkan sektor pengawasan terus menjalankan perniagaannya secara ‘bersifat rahsia dan kabur’, manakala kerajaan dengan giat membeli teknologi mereka untuk menyelidik rakyat mereka dan menindas masyarakat madani.
NGO itu mengulangi seruannya untuk melarang sebarang perisian hasad yang membolehkan penyalahgunaan hak. – HARAKAHDAILY 3/2/2024











