
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hadir dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang terkini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, kedua-dua Pengerusi dan Timbalan Pengerusi PN itu sebenarnya selalu berjumpa dan mengadakan perbincangan berkaitan PN.
Beliau menegaskan betapa hubungan kedua-dua pemimpin tersebut begitu akrab dan menyangkal dakwaan kononnya dingin sebagaimana dilaporkan oleh sebuah portal tempatan dari suatu ‘sumber’ yang tidak diperkenalkan.
Antara spekulasi dan sangkaan diletuskan oleh ‘sumber’ sebagaimana dilapor portal itu adalah kononnya keretakan hubungan tersebut disebabkan oleh Muhyiddin tidak meneruskan hasratnya berundur dari pemilihan BERSATU.
Laporan itu mendakwa ia menyebabkan kekecewaan PAS yang merasa gagal dengan keputusan Muhyiddin itu untuk menonjolkan Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Perdana Menteri.
Portal berita itu memetik sumber menyatakan Muhyiddin membuat pusingan-U untuk kekal menerajui PN dan seterusnya sekali lagi dilantik selaku Perdana Menteri jika gabungan itu menang PRU16 nanti.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu menegaskan, PAS tidak pernah menimbulkan isu calon Perdana Menteri, sebaliknya banyak isu utama sentiasa dibincangkan bersama dalam mesyuarat komponen itu. – HARAKAHDAILY 2/2/2024











