
KEPALA BATAS: Dewan Muslimat PAS Pulau Pinang menyeru wanita Muslim menutup aurat dengan sempurna.
Ketua Penerangannya, Dr Siti Mastura Muhammad berkata, menutup aurat adalah memaknai lambang kemuliaan yang telah diberikan kepada golongan wanita.
“Sempena sambutan Hijab World Day yang diraikan semalam, 1 Februari menjadi hari yang telah memotretkan lambang kemuliaan buat wanita di seluruh dunia.
“Hijab merupakan pakaian untuk memelihara kehormatan dan perhiasan wanita. Dunia dipenuhi dengan perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah,” kongsi iti Mastura di laman Facebook miliknya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas turut menitipkan pesan, wanita yang solehah akan selalu menjaga auratnya sehingga tidak mudah disentuh oleh orang yang belum halal baginya.
Menurutnya, surah An-Nur ayat 31 menggaris bawaha betapa pentingnya bagi wanita menutupi perhiasan di bahahgian tubuh badan mereka, kecuali yang terlihat secara jelas dan menunjukkan perhiasan tersebut kepada suami mereka.
Selanjutnya kata beliau, ini bermakna menutup aurat adalah sebahagian prinsip berpakaian yang Islami untuk memelihara kesopanan dan kehormatan.
“Duhai sekalian wanita, dirimu begitu berharga, muliakanlah kejadianmu dengan memelihara auratmu, dan balutilah ia dengan pakaian takwa, sesungguhnya takwa adalah sebaik-baik dan seindah-indah pakaian,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/2/2024











