
KOTA BHARU: Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) Kelantan masih mengekalkan konsep kebajikan bagi memberikan pendidikan awal kanak-kanak yang berkualiti dengan kadar yuran yang berpatutan serta tidak membebankan ibu bapa.
Setiausaha PASTI Negeri Kelantan, Mohd Afif Rabbani Abdullah berkata, pihaknya juga sentiasa memantau institusi pendidikan itu di peringkat cawangan seluruh Kelantan supaya mengenakan bayaran bulanan antara RM40 hingga RM80.
Walaupun kenaikan naik yuran tidak dapat dielakkan katanya sekiranya premis pendidikan itu menyediakan kelengkapan yang lebih baik seperti penghawa dingin dan penambahbaikan lain, namun peningkatan itu tidak melebihi RM150.
“Berkaitan dengan yuran ini secara asasnya kita di Kelantan ini masih lagi mengekalkan konsep kebajikan dalam bayaran yuran dan kita di Kelantan ini kalau kita tengok rekod-rekod yuran setiap bulan antara RM40 hingga RM80.
“Ia membabitkan pelajaran antara lapan pagi hingga satu tenghari, pun begitu ada beberapa menyediakan kelas ada aircond dan kemudahan lain maka yuran meraka agak tinggi sedikit tetapi ia tidak melebih RM150,” katanya ketika dihubungi.
Mohd Afifi yang juga Bendahari Dewan Pemuda PAS Kelantan berkata, pihaknya turut mengalu-alukan sumbangan badan korporat dan derma orang ramai untuk bersama-sama membantu membangunkan institusi awal pendidikan kanak-kanak itu.
Menurutnya PASTI negeri turut menyediakan geran tahunan kepada PASTI kawasan untuk pembangunan dan juga menaiktaraf institusi pendidikan itu peringkat cawangan yang terpilih seluruh Kelantan walaupun jumlahnya tidak besar.
“Insya-Allah dengan geran yang kita sediakan kepada PASTI kawasan ini boleh membantu sedikit sebanyak dalam menyelesaikan isu berkaitan dengan premis PASTI yang daif dan yang kurang dari segi kemudahan dan juga fasiliti.
“Kita mengalu-alukan jika ada pihak yang hendak menyumbang bagi pembangunan PASTI-PASTI cawangan yang daif dan uzur, kita sangat mengalu-alukan untuk sumbangan kewangan peralatan dan apa sahaja yang boleh membantu,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/2/2024











