
Malaysia mencatat sejarah apabila layak ke perlawanan akhir edisi sulung Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman.
Skuad bimbingan Wallace Tan mengatasi cabaran Poland melalui kemenangan 4-3 pada separuh akhir di Stadium Hoki Oman, awal pagi tadi. Malaysia akan bertemu Belanda bagi penentuan gelaran juara pada jam 12.20 tengah malam ini.
Namun wira skuad negara, Akhimullah Anuar Esook, mengingatkan rakan sepasukannya supaya fokus untuk menghadapi Belanda dalam misi mencipta sejarah menjuarai kejohanan edisi kali pertama itu.
“Syukur Alhamdulillah dengan kejayaan ini. Kami berkorban banyak perkara sejak kejohanan bermula ketika seri 3-3 dengan Oman sebelum bangkit mencatat kemenangan demi kemenangan.
“Kami perlu fokus kerana masih ada satu perlawanan terakhir untuk terus mencipta sejarah baharu. Sebagai rakyat Malaysia, kami perlu berjuang memberikan yang terbaik buat negara,” katanya.
Akhimullah yang menjaringkan dua gol ketika menewaskan Poland berkata, Belanda memiliki pemain yang hebat dan merupakan negara nombor satu dunia ketika ini.

Sementara itu ketika menentang Poland, Malaysia memecah kebuntuan menerusi penalti stroke yang disempurnakan Arif Syafie Ishak seawal minit ketujuh. Poland kemudian menyamakan kedudukan menerusi gol padang Damian Jarzembowski pada minit kesembilan.
Malaysia kemudian seperti berpesta dengan menyumbat tiga gol menerusi gol padang yang disudahkan Kamarulzaman Kamaruddin pada minit ke-19 diikuti dua gol Akhimullah pada minit ke-22 dan 24.
Poland membalas dengan dua gol padang menerusi Wojciech Rutkowski pada minit ke-27 dan Jakub Holosyniuk pada minit ke-30, tetapi tidak mencukupi untuk menghalang kemaraan Malaysia ke perlawanan akhir. – HARAKAHDAILY 31/1/2024











