Rakyat sokong selagi kerajaan berusaha perkasa Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kelantan berjaya mewujudkan mobilisasi rakyat yang tinggi bagi menjayakan sesuatu program besar dengan sambutan di luar jangkaan.

- Advertisement -

Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob berkata, ia merupakan hasil pelaksanaan dasar Membangun Bersama Islam (MBI) pada tahun 1990.

Kemudian katanya diteruskan dengan Merakyat Membangun Bersama Islam (MMBI) dan sekarang Penghayatan Membangun Bersama Islam (PMBI).

Menurutnya rakyat akan terus memberi sokongan selagi kerajaan negeri komited untuk melaksanakan dan memperkasakan Islam dalam pentadbiran kerajaan.

“Ini menandakan kita boleh merancang untuk mendapat sokongan lebih besar lagi dengan adanya PMBI.

“Kita nak biar cara hidup Islam diperkemaskan lagi, biar tekun contoh solat sekarang ada satu perubahan tidak kira siapa yang mula program solat Subuh seperti Jumaat, ini perkembangan baharu,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis kesyukuran dan penghargaan petugas Malam Murabbi Ummah Bersama Prof Dr Ustaz Abdul Somad Batubara dan Himpunan Pertahankan Syariah di JKR 10 hari ini.

Turut hadir Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta Mohd Asri Mat Daud; Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Hilmi Abdullah dan wakil-wakil rakyat.

Lebih 300 sukarelawan hadir pada program tersebut yang diraikan kerajaan negeri sebagai penghargaan terhadap khidmat mereka.

Ahmad yang juga Adun Pasir Pekan berkata, tanpa sokongan dan bantuan sukarelawan program mega yang dianjurkan kerajaan negeri tidak akan mencapai sasaran. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -