Raja dan rakyat berpisah tiada

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Parit, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib merafak sembah ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim selaku Yang di-Pertuan Agong ke-17 bagi tempoh lima tahun akan datang bermula hari ini.

- Advertisement -

Baginda menggantikan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menamatkan pemerintahan selepas memenuhi tempoh lima tahun di atas takhta bermula 31 Januari 2019.

Muhammad Ismi Mat Talib

“Dengan kerendahan hati patik melahirkan harapan agar kecemerlangan pemerintahan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim di Johor dapat diterjemahkan pula dalam pemerintahan baginda sepanjang lima tahun sebagai ketua negara.

“Selain itu, kepercayaan sepenuhnya patik zahirkan bahawa pelantikan Yang di-Pertuan Agong yang baharu ini akan dapat memacu kemajuan negara dan rakyat dapat menjalani kehidupan lebih baik di samping memastikan keamanan terus berkekalan,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Selain itu, katanya rakyat kebanyakan pada waktu ini juga berharap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim akan memastikan nasib rakyat terus terbela dan memastikan kemakmuran negara ini dapat dinikmati setiap rakyat tidak mengira kaum, bangsa dan agama.

“Harapan patik, Baginda akan bersikap tegas dalam menasihati Kerajaan Persekutuan dalam mentadbir negara demi memastikan rakyat memelihara keamanan dan kestabilan dalam negara, selain mengurangkan pertelagahan dalam kalangan ahli politik dan rakyat.

“Akhir kata, patik mendoakan agar Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Sultan Ibrahim sentiasa diberi kesihatan yang baik berkekalan dalam menjalankan tugas Baginda di Istana Negara.

“Keyakinan patik bersama rakyat Malaysia akan sentiasa menumpahkan taat setia tanpa berbelah bahagi kepada Baginda selaku ketua negara yang baharu. Sesungguhnya raja dan rakyat, berpisah tiada,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/1/2024

- Advertisement -