Apa motif di sebalik angkara mansuh skim pencen?

- Advertisement -

RAMAI dah tulis mengenai isu skim pencen. Rata-rata tak bersetuju dengan keputusan Kabinet membatalkan skim pencen. Kalau nak tahu, segalanya bermula dari DAP yang merasakan ‘penjawat awam membebankan’ dalam satu forum yang diadakan pada 2017.

Masa ni aku dah agak dah, satu hari nanti DAP akan mensasarkan kakitangan awam. Mana taknya, 89.2 peratus penjawat awam adalah Melayu Islam. Pencen juga boleh dikatakan antara keistimewaan yang dirasai oleh orang Melayu Islam. 

Jadi ketika Kerajaan Pakatan Harapan 22 bulan, mereka memulakan kerja untuk menghapuskan skim pencen, namun selepas mendapat bantahan daripada pelbagai pihak, Tun Mahathir telah membatalkan cadangan ini. 

Pendapat aku, memang pencen menjadi beban kepada kewangan negara. Tapi adakah langkah menghapuskan skim pencen adalah yang terbaik?

Bila kita sebut skim pencen, ia sebenarnya menjadi tarikan kepada golongan cerdik pandai bagi memilih untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam dan meninggalkan tawaran swasta yang menawarkan gaji yang tinggi, bonus tahunan, serta lain-lain kelebihan.

- Advertisement -

Apakah kerajaan boleh memberikan jaminan dengan menghapuskan skim pencen kerajaan tidak akan menghadapi masalah untuk mendapatkan kakitangan awam berkualiti untuk mengisi jawatan penting seperti Pegawai Tadbir dan Diplomatik yang bertanggungjawab terhadap menggubal dasar kerajaan atau jawatan penting seperti di bawah perkhidmatan kesihatan atau anggota keselamatan dan perundangan? 

Kebimbangan aku adalah kalau skim pencen dihapuskan, ia akan menyebabkan graduan yang berkualiti memilih berkhidmat dengan syarikat swasta kerana tarikan pencen sudah tiada dalam perkhidmatan awam. Baik mereka pilih swasta yang memberikan tawaran pakej kewangan yang lebih menarik.

Pandangan aku kerajaan perlu mengekalkan skim pencen ini. Cumanya perlu ada sedikit perubahan yang boleh dibuat bagi menangani isu bebanan kewangan yang dihadapi kerajaan.

Pertama, skim pencen sekarang membenarkan pencen diwariskan kepada keluarga. Kerajaan boleh mengubah perkara tersebut dengan pencen hanya kepada kakitangan sahaja. 

Apabila kakitangan tersebut meninggal dunia, maka pencen akan tamat. Ini kerana ada di kalangan pasangan penjawat awam turut menjadi penjawat awam dan menerima pencen. 

Namun perlu ada pertimbangkan khas untuk rayuan dari balu kakitangan awam yang tidak bekerja dan mempunyai keperluan kewangan. Kerajaan perlu pertimbangkan kes-kes seperti ini. 

Kedua, kerajaan boleh perkenalkan had umur pembayaran pencen dan sekiranya melepasi had umur tersebut, pencen akan dibatalkan dan digantikan dengan bantuan kebajikan yang boleh dimohon melalui Jabatan Kebajikan sekiranya ada keperluan. 

Ketiga, peratusan pencen boleh dikurangkan dan ditampung dengan caruman pencen swasta. Perkara ini turut dilakukan di luar negara yang memperkenalkan pencen swasta bagi rakyat mereka. 

Keempat, kerajaan telah memperkenalkan pilihan bertukar ke skim KWSP, namun kelemahan skim ini adalah gaji yang diterima kakitangan awam tidak berubah. Kerajaan perlu sediakan tarikan baru bagi menggantikan skim pencen. 

Sebagai contoh bagi kakitangan awam yang memilih bertukar ke skim KWSP akan diselaraskan gaji dan menerima kenaikan gaji. Malah mereka juga akan mendapat tawaran bonus tahunan yang berbeza dengan mereka yang berada dalam skim pencen. 

Bila kerajaan ada masalah kewangan, jangan jadikan kakitangan awam sebagai mangsa. Kerajaan nak umum sesuatu tindakan sebesar ni, perlu ada strategi dan bincangkan segala baik buruk. Usahakanlah untuk pertahankan kakitangan awam dalam mencari penyelesaian. Janganlah ikut arah DAP sangat sampai keistimewaan penjawat awam pun diganggu.

NURUL ISLAM MOHAMED YUSOFF – HARAKAHDAILY 31/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -