Political animal VS politik ibadah

- Advertisement -

ISTILAH ‘Political animal’ diperkenalkan kepada dunia oleh Aristotle menerusi tulisannya berjudul Politics.

Orang Rome menyebutnya, zoon politicon atau zoa politica. Orang Greece menyebut soyos politicos.

Ia bukan bererti binatang yang berpolitik atau politik dalam dunia haiwan tetapi merujuk kepada insan politik yang bernafsu.

Politik adalah perihal kepimpinan. Ia suci dan begitu mulia. 

Rasulullah S.A.W sendiri sebagai manusia yang terunggul dalam sejarah kewujudan dunia adalah seorang ahli politik.

Ahli politik seharusnya seseorang yang memandu umat atau masyarakat dalam kehidupan, sama ada pendapat, tindakan atau aspek-aspek lain yang berkaitan dengan urusan kehidupan.

- Advertisement -

Dalam Islam, ahli politik juga perlu jadi pemimpin atau imam dalam mencapai tujuan mendapatkan keredaan Allah berpandukan hukum-hakam yang sudah termaktub dalam Al-Quran, Hadis dan Ijma para ulamak.

Ini bagi membendung apa yang disebut oleh Aristotle pada 4 tahun sebelum Masihi dulu, iaitu berkaitan hawa nafsu yang boleh mencemarkan politik.

Bagi Islam, politik adalah ibadah, dan menjadi pertanggungjawaban yang akan dibawa hingga akhirat.

Jika kuasa yang ada tidak diuruskan dengan panduan hukum-hakam, dan ilmu serta kesedaran diri terhadap tanggungjawab, ia begitu mudah dimanipulasi dan dieksploitasi untuk kepentingan diri.

Dalam sistem demokrasi yang tidak bertunjang pada hukum asas kehidupan, keghairahan untuk memperoleh majoriti telah mengubah konsep politik menjadi ruang dan peluang oleh mereka yang mengejar populariti.

Mereka berharap untuk menjadi popular dalam masyarakat, tidak kira apa pun cara dan kesannya dan ini telah mengubah ahli politik yang seharusnya berkelakuan sebagai pemimpin sebaliknya menjadi pengikut orang yang dipimpin.

Kehadiran media sosial tambah menjahanamkan lagi situasi kerana asalkan popular, seseorang populis boleh diangkat sebagai pemimpin meskipun tidak mempunyai daya atau kualiti yang sepatutnya.

Seseorang pemimpin seharusnya berada beberapa langkah di hadapan orang yang dipimpin, berupaya untuk menilai apa yang baik dan apa yang buruk bagi masyarakat, lebih berpengetahuan dan melihat dunia dari sudut pandang yang lebih jelas berbanding orang lain.

Dengan segala kualiti ini, pemimpin harus bersikap tegas dengan pendirian bagi memastikan keadaan adalah lebih baik bagi masyarakat yang dipimpinnya, bukan sekadar mementingkan undi atau kedudukan semata-mata.

Hari ini, dengan persepsi yang ditabur menerusi media sosial, seseorang pemimpin yang bersikap tegas, tidak rasuah akan jadi cemuhan masyarakat yang sudah tidak tahu menilai erti sebenar kepimpinan.

Ini mudah berlaku apabila sokongan dan populariti boleh dibeli oleh ahli politik yang rasuah.

Pandanglah dunia dengan mata hati anda, dan suluhlah jauh ke akhirat dengan kalbu anda yang beriman!

Sokonglah pemimpin yang kasihkan kita bukan sahaja untuk dunia, tetapi juga untuk akhirat.

MUHAMAD MAT YAKIM
Alor Setar, Kedah – HARAKAHDAILY 30/1/2024

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -