
GEORGETOWN: Seorang pempengaruh yang dipercayai artis dari Singapura, Wang Lei dianggap melanggar undang-undang negara ini dengan cubaan merosakkan keharmonian rakyat Malaysia.
Aktivis masyarakat Phan Sow Sun berkata, sebelum ini banyak laporan polis dibuat terhadap Wang Lei bagaimana pun artis tersebut seolah-oleh bebas keluar masuk negara dengan berkelakuan kurang bermoral.
Katanya Wang Lei cuba menyemai unsur-unsur LGBT dalam masyarakat di Malaysia melalui media sosial yang kebanyakan pengikutnya rakyat Malaysia.
“Saya ingin mendapat penjelasan bagaimana Wang Lei masih dapat keluar masuk ke Malaysia dengan sewenangnya sedangkan Imigresen telah menyenaraikan hitam namanya,” katanya di sini.
Jumaat lepas Sow Sun membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan berharap polis dan Jabatan Imigresen Malaysia menyiasat kejadian itu.
Menurutnya, Wang Lei bukan sahaja membawa unsur LGBT, malah berani bermain dengan isu 3R yang bertentangan dengan kerajaan Malaysia.
“Wang Lei celupar dengan menghina kaum dan agama di Malaysia. Dia pernah membuat kenyataan Batu Caves adalah tempat yang cukup bahaya.
“Dia juga selalu menghina agama secara sengaja dan tidak sengaja. Dia berulang kali menyalahgunakan ayat-ayat dalam kitab Buddha dan diubah suai, ” jelas Sow Sun.
Oleh itu Sow Sun berharap polis dan Jabatan Imigresen menyiasat tindak-tanduk Wang Lei yang boleh mencetuskan keharmonian di negara ini. – HARAKAHDAILY 30/1/2024











