
ARAU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bakal melaksanakan ‘Program Rezeki Subuh’ selama 40 hari bermula 1 Februari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor berkata, pihaknya memperuntukkan sumbangan berjumlah RM334,000 untuk pelaksanaan program tersebut.
“Setiap pelajar akan diberi RM3 bagi yang hadir menunaikan solat Subuh berjemaah di 101 buah masjid seluruh negeri dalam tempoh berkenaan.
“Program ini bertujuan untuk memberikan galakan kepada kanak-kanak di bawah 12 tahun untuk hadir menunaikan solat Subuh secara berjemaah,” katanya.
Menurut beliau, keputusan untuk pelaksanaan program itu diperolehi dalam Persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bilangan Pertama Bagi Tahun 2024 yang diadakan baru-baru ini di Bilik Senat Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), di sini.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs turut berkenan melancarkan program itu pada akhir persidangan. – HARAKAHDAILY 30/1/2024











