
KUALA LUMPUR: Presiden Umno, Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan hubungan erat Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), akhirnya mengesahkan pelbagai keraguan sebelum ini.
Ketua Dewan Ulamak PAS Kawasan Lenggong, Ustaz Muhammad Rif’aat Razman mengimbau antaranya tuduhan terhadap PAS kononnya mengkhianati Muafakat Nasional (MN) dan dikatakan bermain dua kolam.
“Jadi kenyataan beliau itu membenarkan bahawa bukanlah PAS yang mengkhianati Muafakat Nasional dan bermain dua kolam, kerana PAS sebenarnya tidaklah dianggap sebagai adik-beradik dengan Umno.
“Jadi piagam Muafakat Nasional hanyalah sandiwara daripada Umno yang sebenarnya adik-beradik dengan PH dalam satu kolam,” ujar beliau yang juga bekas calon PAS P.055 Lenggong pada PRU15 lalu.
Menurut beliau, kalaulah PAS dianggap seperti adik-beradik dengan Umno dan bukannya PH, sudah tentu gabungan PAS-Perikatan Nasional (PN) dan Umno mampu menubuhkan sebuah kerajaan Melayu-Muslim yang kukuh di Perak.
“Tapi sayangnya, PAS bukanlah adik-beradik Umno, walaupun PAS dan Umno masing-masing beragama Islam dan kaum Melayu, namun PAS tidaklah diakui adik-beradik Umno.
“Kerana adik beradik Umno adalah PH yang ditunjangi oleh DAP sebagai parti yang memiliki jumlah kerusi terbanyak dalam PH,” ujar beliau dipercayai merujuk kepada ucapan Zahid pada Konvensyen Kerajaan Perpaduan Negeri Perak di Ipoh, semalam.
Oleh itu juga kata beliau, punca sebenar Umno tidak mahu menubuhkan kerajaan bersama PAS bukanlah disebabkan PAS tidak mahu atau enggan bersama Umno, tetapi disebabkan PAS tidak dianggap adik-beradik Umno.
Umno pula bidasnya, mahu bermain satu kolam dengan PH sebagai adik-beradiknya dan oleh sebab demikian maka jadilah PAS-PN sebagai pembangkang dan berharap tuduhan yang selama ini dihadapkan kepada PAS sudah terjawab.
“Kerjasama PAS dan Umno dahulu telah digambarkan sebagai Taliban oleh adik-beradik Umno iaitu DAP dan Umno memilih untuk menguburkan Muafakat Nasional demi bersama DAP,” ujarnya.
Tempelak beliau, DAP berusaha menyekat gelombang kebangkitan Islam yang dijenamakan oleh parti itu sebagai ‘gelombang hijau’. – HARAKAHDAILY 29/1/2024











