
KOTA BHARU: Jabatan Amal Malaysia (JAM) giat membantu mangsa banjir mencuci kediaman yang ditenggelami lumpur di semua kawasan berikutan air semakin surut.
Pengarahnya, Mohd Firdaus Mohamed Nawi ketika dihubungi berkata, dianggarkan seramai 50 hingga 70 orang anggota JAM di kawasan terlibat banjir membantu membersih rumah yang berlumpur.
Katanya, turut serta membantu Team Mesra dan Khidmat Malaysia dari dalam dan luar Kelantan.
“Mereka sentiasa prihatin membantu meringankan beban mangsa-mangsa membersih rumah setiap kali dilanda banjir.
“Alhamdulillah sukarelawan yang terdiri dari JAM, Mesra dan Khidmat Malaysia serta individu turut membantu membersih rumah mangsa banjir,” katanya lagi.
Sementara itu banjir di pantai timur, Kelantan dan Terengganu kecuali Pahang terus menurun tengahari ini berbanding semalam apabila 2,058 yang masih berada di 18 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di tiga buah negeri. – HARAKAHDAILY 27/1/2024











