
KOTA BHARU: Ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk lulus peperiksaan sahaja, kata Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Keluarga dan Wanita negeri, Rohani Ibrahim.
Beliau menyatakan demikian semasa menyantuni calon-calon peperiksaan SPM 2023 di Maahad Pengajian Islam (MPI), yang dijangka akan menghadapi peperiksaan itu hujung Januari ini.
Rohani mengambil ruang seketika untuk beramah mesra para pelajar di maahad berkenaan.
Kedatangannya disambut Mudirah MPI, Ustazah Hafizah Abdullah serta tenaga pengajar sekolah berkenaan.
Beliau mengingatkan pelajar supaya rajin menuntut ilmu walau di mana sahaja berada, kerana mencari ilmu tiada penghujungnya.
“Yakinlah janji Allah yang akan mengangkat darjat para penuntut ilmu berbanding manusia yang lain, sebagaimana firman-Nya dalam Surah al-Mujaadalah ayat 11,” ujarnya yang juga Naib Ketua Dewan Muslimat PAS negeri.
Beliau turut mendoakan anak-anak diberi kelapangan dan ketenangan dalam menghadapi peperiksaan yang akan ditempuhi.
“Ilmu yang dipelajari bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi ianya sebagai bekal untuk terus berjuang menjadi manusia yang bermanfaat kepada Islam, bangsa dan negara serta ummah seluruhnya.
“Cabaran di hadapan semakin kuat, tapi yakinlah dengan kasih Allah dan Rasul-Nya sentiasa ada untuk kita semua selagi mana kita berpandukan kepada al-Quran dan sunah Rasulullah SAW, segala ilmu yang dipelajari akan bermanfaat buat kita di dunia dan di akhirat kelak,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/1/2024











