20 peratus daripada belanjawan untuk perkasa pendidikan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak satu perlima dari belanjawan tahunan bertujuan untuk memperkasakan sektor pendidikan termasuk menyediakan bantuan kewangan kepada anak Kelantan yang berjaya.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, sejak tahun 2013 sehingga kini Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin) memperuntukkan RM14 juta bagi menawarkan pengurangan pinjaman dan biasiswa.

Beliau berkata, jumlah tersebut membabitkan pinjaman yang diubah menjadi biasiswa kerana kejayan mendapat ijazah kelas pertama dan pengurangan pinjaman sebanyak 25 peratus dan 30 peratus membayar pinjaman sekali gus.

“Alhamdulillah tahun lalu 2023 ramai pelajar cemerlang ini, 87 orang, ini yang paling ramai, kita harap tahun ini 2024 ramai lagi, habis pitih pun tak apa, kita mahu melahirkan lebih ramai anak-anak yang cemerlang.

“Kita bagi biasiswa tak payah bayar, ada yang 25 peratus kita bagi pengurangan, 30 peratus pengurangan bagi yang bayar pinjaman sekali gus, yang melibatkan perbelanjaan dalam masa 10 tahun ini kita telah bagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pertemuan bersama pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) yang cemerlang dalam pengajian di Pejabat Menteri Besar di sini hari ini.

Hadir sama Pengarah Yayasan Kelantan Darulnaim (Yakin), Nik Jessim Tan Sri Nik Hashim bersama enam orang pelajar yang mendpat keputusan cemerlang, ijazah kelas pertama dari pelbagai IPT dalam dan luar negara.

Yakin merupakan salah agensi di bawah kerajaan negeri yang menawarkan biasiswa dan pinjaman pendidikan bagi anak-anak Kelantan yang berkelayakan untuk melanjutkan pengajian, bukan sahaja IPT tempatan malah luar negara.

Mohd Nassuruddin yang juga Pengerusi Yakin berkata walaupun Kelantan dikenali sebagai salah sebuah negeri termiskin di Malaysia, namun usaha untuk meningkatkan sektor pendidikan dan modal insan tidak akan diabaikan.

Beliau berkata menjadi tradisi rakyat Kelantan sejak sekian lama yang sanggup berkorban termasuk menjual tanah bagi membiayai pengajian anak-anak mereka khususnya dalam bidang pengajian agama Islam khususnya di timur tengah.

“Biar kerajaan habis duit pun tidak apa, ini berbaloi kerana kita bagi biasiswa kepada pelajar cemerlang ini kita ‘convert’ dari pinjaman kepada biasiswa untuk mereka, tak apa habis RM14 juta pun hingga RM20 juta pun tak apa.

“Kita orang Kelantan ini daripada dahulu lagi, kita sangat mementingkan ilmu sebab itulah saya di mesir dahulu, pelajar lain hairan kenapa pelajar Kelantan ini ramai walaupun pergi belanja sendiri, pinjaman ketika itu ada payah,” katanya. – HARAKAHDAILY 25/1/2024

- Advertisement -