
KUANTAN: “Saya sendiri nak bergerak pun memerlukan RM7,000 sebulan untuk menguruskan Pusat Khidmat DUN (PKD),” kata Ahli Dewan Negeri (ADN) Beserah, Andansura Rabu.
Katanya, ia melibatkan urusan pejabat, bil air dan elektrik, tidak termasuk bergerak ke sana sini untuk menghadiri program.
“Kita tak boleh nak berharap dengan kaedah lama lagi, setiap kali buat program minta sumbangan untuk nak melaksanakan apa-apa urusan.
“Kena ada ikhtiar dan usaha untuk nak menjana pendapatan, menjana sumber kewangan cawangan masing-masing supaya boleh bergerak dengan lancar dan teratur,” kata beliau semasa merasmikan Kursus Pemantapan Kesetiausahaan, Kewangan dan Ekonomi di Sungai Karang, kelmarin.
Program anjuran Lajnah Pemerkasaan Parti Dewan Muslimat PAS Kawasan Indera Mahkota itu adalah bagi memantapkan tugas dan tanggungjawab setiausaha, kewangan dan ekonomi.
Tambahnya lagi, sebagai parti pembangkang, tiada bantuan atau sokongan daripada pihak kerajaan negeri untuk membantu.
Justeru beliau mencadangkan agar diwujudkan satu pasukan bagi mencari idea bagaimana boleh menjana projek atau usaha yang boleh membantu mendapatkan sumber kewangan sama ada di cawangan atau kawasan.
Beliau seterusnya memaklumkan PKD sedang berusaha mengeluarkan satu produk baru bagi menjana pendapatan yang akan dilancarkan semasa Konvensyen PAS negeri pada 27 Februari nanti. – HARAKAHDAILY 24/1/2024











